KUALA LUMPUR,15 Disember– Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyalurkan peruntukan melebihi RM20 juta bagi membantu lebih 36,000 pelajar asnaf di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bagi persiapan sesi persekolahan akan datang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, bantuan tersebut melibatkan penyediaan pakaian dan kelengkapan persekolahan untuk pelajar sekolah rendah dan menengah, sekali gus meringankan beban kewangan keluarga asnaf menjelang pembukaan sekolah.
Menurut beliau, kelainan pada tahun ini ialah pelaksanaan inisiatif dompet elektronik yang membolehkan ibu bapa dan pelajar membuat pembelian sendiri di outlet terpilih yang bekerjasama dengan MAIWP, berbanding kaedah agihan pakaian secara terus sebelum ini.
“Setiap pelajar asnaf menerima bantuan sebanyak RM450 dan boleh mula membuat pembelian pakaian serta kelengkapan persekolahan serta membuat tuntutan bermula 22 Disember ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Bantuan ‘Back To School’ Sesi 2026 MAIWP di Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam pada itu, ibu bapa penerima bantuan melahirkan rasa syukur atas bantuan yang disalurkan kerana ia membantu meringankan beban perbelanjaan persekolahan anak-anak.
Sehingga November lalu, dana zakat berjumlah lebih RM111 juta telah diagihkan bagi membantu anak-anak asnaf melalui pelbagai skim bantuan pendidikan, merangkumi peringkat sekolah rendah hingga ke institusi pengajian tinggi.-Berita RTM
