GOMBAK: Kerajaan akan menangani sebarang pertikaian yang timbul secara berhemah membabitkan isu pembayaran premium tanah antara FELDA dan Kerajaan Terengganu, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri berkata, langkah itu diambil bagi memastikan kepentingan dan kebajikan pihak berkaitan sentiasa terpelihara.
“Saya yakin kerjasama di antara Kerajaan Pusat melalui FELDA dan FGV dengan Kerajaan Terengganu khususnya Setiausaha Kerajaan Terengganu, Datuk Zulkifli Ali yang menjadi perunding bagi pihak kerajaan negeri untuk kita menyantuni beberapa pertikaian yang jika ada untuk kita beri keutamaan kepada kepentingan pihak berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan lawatan kerja ke UniKL British Malaysian Institute di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Sebelum ini media melaporkan, Kerajaan Terengganu bersetuju melanjutkan tempoh remedi selama sebulan hingga 7 Januari tahun depan, susulan perkembangan positif rundingan dengan FELDA berhubung isu terbabit.
Zulkifli dilaporkan berkata, selepas notis kesalahan mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) disampaikan, kerajaan negeri mengadakan beberapa siri rundingan dengan pengurusan tertinggi FELDA bagi mencari penyelesaian menyeluruh kepada isu berbangkit.
Katanya, melihat kepada perkembangan positif hasil rundingan itu, Kerajaan Terengganu yakin siri rundingan seterusnya akan diteruskan hingga berjaya mencapai persetujuan yang dapat dimuktamadkan antara kerajaan negeri dengan FELDA.-BH Online
