KUALA LUMPUR, 15 Disember – Cadangan pemberian insentif bagi menggalakkan penggunaan Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH) akan dirujuk ke Kementerian Kewangan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sebarang bentuk pelepasan cukai atau insentif mempunyai implikasi kepada kedudukan kewangan negara.
“Namun dari segi perundangan kebanyakan negeri sudah pun memuatkan melalui kerajaan tempatan semua projek-projek baru akan menggunakan keadaan meletakkan tangki untuk simpanan air hujan,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan daripada Senator Datuk Rosni Sohar berkenaan perancangan kerajaan berhubung pemberian insentif subsidi, sokongan kewangan atau insentif cukai kepada isi rumah bagi mendorong lebih ramai isi rumah memasang sistem penuaian air hujan.
Penyimpanan air hujan mampu mengurangkan aliran limpahan, sekali gus menurunkan risiko banjir kilat terutama di kawasan bandar.
Usaha itu juga sebahagian daripada fokus kerajaan dalam menyesuaikan pengurusan air dengan perubahan iklim dan fenomena cuaca ekstrem yang semakin kerap berlaku.
Kerajaan menjangkakan pelaksanaan berperingkat melalui kerangka perundangan sedia ada mampu memperluas penggunaan Sistem Penuaian Air Hujan, sementara perbincangan mengenai insentif fiskal diteruskan bersama Kementerian Kewangan.-Berita RTM
