Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan supaya mana-mana kementerian yang memiliki tender bagi sesuatu projek diberikan kepercayaan sepenuhnya untuk memilih kontraktor yang layak berdasarkan penilaian dan saringan yang dilakukan.

Timbalan Perdana Menteri, berkata ketika ini garis panduan sedia ada hanya membenarkan kementerian atau jabatan menilai kelayakan kontraktor, namun kontraktor yang akan dilantik diputuskan Kementerian Kewangan.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata perkara itu menyebabkan kementerian itu sering dipersalahkan kerana selepas semua butiran teknikal dikemukakan, tidak sampai separuh daripada jumlah kontraktor yang memohon dapat berdaftar untuk melaksanakan tender terbuka atau terhad yang ditawarkan.

“Dengan tidak berhajat untuk campur tangan dalam peraturan sedia ada, saya berasakan jika sesuatu tender diberikan kepada sesebuah kementerian, kepercayaan 100 peratus harus diberikan kepada kementerian berkenaan untuk menjalankan sepenuhnya (proses pelaksanaan tender).

“Jika tidak diberikan kepercayaan kepada kami, KKDW (Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah), KKR (Kementerian Kerja Raya) atau kementerian lain, lebih baik daripada awal lagi dokumen tender, spesifikasi ‘drawing’ dibuat oleh kementerian berkenaan, daripada mula sampai akhir.

“Kenapa apabila sesuatu kerja itu diberikan kepada kami, dari segi teknikal dan penilaian (kontraktor), kami dan JKR (Jabatan Kerja Raya) buat tapi yang buat keputusan, orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sempena Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Ke-46 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan dan Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mohd Rosdi Abdul Aziz.

Pada masa sama, Ahmad Zahid mencadangkan kepada KKR supaya melaksanakan saringan terhadap senarai kontraktor berdaftar ketika ini bagi memastikan hanya kontraktor yang aktif saja dikekalkan untuk melaksanakan projek kerajaan.

Ia disebabkan nisbah kontraktor kepada penduduk ketika ini adalah satu kontraktor bagi 216 penduduk, jumlah yang tinggi berbanding negara lain, berpunca daripada sejumlah kontraktor yang tidak aktif, selain mengelakkan wujudnya kartel dalam bidaan tender.

“Tiba waktunya untuk kita menilai semula sektor ini. Ia adalah sektor yang sangat-sangat mendatangkan keuntungan tapi jika terlalu banyak, penawaran melebihi permintaan, nilainya akan turun.

“Buat saingan baharu, iaitu hanya yang aktif saja harus dikekalkan sebagai kontraktor. Persaingan itu sihat tetapi banyak yang tidak sihat sebab ada yang tunggu bila nak jadi kartel walaupun tidak masuk tender,” katanya.

Sementara itu, Mohd Rosdi, mengalu-alukan cadangan saringan kontraktor itu kerana percaya ia mampu mengesan kontraktor yang tidak tulen.

Katanya, golongan berkenaan hanya meminjamkan lesen kepada kartel, yang mendatangkan masalah kepada kontraktor tulen untuk mendapatkan tender.

“Apabila saringan dilakukan, saya yakin sebahagian besar daripada mereka yang terbabit dalam kartel ini akan dapat dikesan.

“Kita juga bersetuju, mereka yang terbabit dalam kartel ini, lesen mereka digantung atau dibatalkan,” katanya.-BH Online