KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan Malaysia berperanan bagi menggesa Thailand dan Kemboja supaya bertenang dan kembali ke meja rundingan melalui dialog serta mekanisme dua hala dan ASEAN.
Perdana Menteri memaklumkan perkara itu selepas menerima panggilan telefon daripada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
“Kami berbincang berkenaan konflik Kemboja-Thailand, hubungan dua hala serta isu global yang menjadi kepentingan bersama.
“Berhubung ketegangan di sempadan Kemboja–Thailand, saya menjelaskan peranan Malaysia yang menggesa kedua-dua negara agar bertenang dan kembali ke meja rundingan melalui dialog serta mekanisme dua hala dan ASEAN.
“Malaysia kekal bersedia membantu usaha meredakan keadaan, melindungi orang awam dan memulihkan kestabilan serantau, selaras dengan semangat kejiranan baik ASEAN.
“Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia akan memanggil Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN dalam masa terdekat bagi menilai situasi dan menyokong langkah penyaheskalasian,” katanya dalam kenyataan di Facebook, malam tadi.
Perdana Menteri turut menyampaikan penghargaan atas keterlibatan aktif Amerika Syarikat dengan ASEAN serta keyakinan yang diberikan kepada Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Pada Oktober lalu bersempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di bandar raya ini, Thailand dan Kemboja menamatkan pertikaian sempadan kedua-dua negara yang berlanjutan berdekad lamanya menerusi majlis menandatangani perjanjian damai dikenali ‘KL Peace Accord’ atau Perjanjian Damai KL.
Perjanjian bersejarah antara Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet itu disaksikan oleh Trump dan Anwar.
Trump menzahirkan penghargaan kepada Anwar atas kejayaan beliau menjadi perantara kepada pemeteraian perjanjian damai antara Kemboja dan Thailand hari ini.-BH Online
