KUALA LUMPUR: Instrumen kerjasama pertahanan yang dimeterai antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) 30 Oktober lalu hanya satu Memorandum Persefahaman (MoU) dan bukan perjanjian yang mengikat, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau menjelaskan, MoU berkenaan bersifat tidak mengikat dari segi perundangan dan dirundingkan sejak tahun 2020, sekali gus tidak berkaitan dengan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang ditandatangani pada 26 Oktober lalu.
“MoU Kerjasama Pertahanan dengan AS ini bersifat tidak mengikat dari segi perundangan dan telah dirundingkan lima tahun yang lalu sejak 2020.
“Pemeteraian MoU Kerjasama Pertahanan dengan AS ini tiada kaitan dengan ART yang dimeterai pada 26 Oktober 2025 di sela-sela ASEAN Summit di Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kenyataan itu susulan pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad
menerusi media sosial, yang mempertikaikan pemeteraian MoU Kerjasama Pertahanan antara Malaysia dan AS yang dimeterai empat hari selepas ART ditandatangani.
Dr Mahathir turut mempersoalkan tindakan kerajaan yang menurutnya belum mendedahkan sepenuhnya kandungan MoU berkenaan, selain menyuarakan kebimbangan ia boleh menjejaskan dasar luar Malaysia yang mengamalkan hubungan baik dengan semua negara serta prinsip ZOPFAN.
Mohamed Khaled berkata, kandungan MoU itu merangkumi pembangunan keupayaan dan kapasiti, latihan serta eksesais ketenteraan, sains, teknologi dan industri pertahanan selain bidang lain yang dipersetujui melalui Malaysia-US Strategic Talk (MUSST) sejak 2008.
null
Mengulas lanjut, beliau menegaskan pemeteraian MoU Kerjasama Pertahanan dengan negara rakan adalah sebahagian diplomasi pertahanan seperti digariskan dalam Tonggak Ketiga Kertas Putih Pertahanan yang dilancarkan pada 2019 ketika Dr Mahathir memegang jawatan Perdana Menteri ketujuh.
“Selain AS, Malaysia turut menandatangani MoU kerjasama pertahanan dengan beberapa negara lain termasuk China (2016); Jepun (2018); Lao PDR (2019); Indonesia (2022); Vietnam (2023) dan terbaharu dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 11 Disember lalu.
“Pemeteraian MoU Kerjasama Pertahanan dengan negara-negara berkenaan seiring dasar luar Malaysia yang neutral serta berkecuali dan mendukung deklarasi Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN), yang ditandatangani ASEAN pada 1971,” katanya.
Bagaimanapun, katanya Kementerian Pertahanan merakamkan penghargaan atas keprihatinan Dr Mahathir terhadap perkara itu dan menegaskan MoU Kerjasama Pertahanan dengan AS dimeterai demi kepentingan negara dalam memastikan Malaysia kekal selamat, berdaulat dan makmur.-BH Online
