KUALA LUMPUR, 13 Disember – Malaysia bergerak pantas ke arah menjadi negara AI menjelang 2030, melalui pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dan Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030, kata Menteri Digital, Gobind Singh Deo.
Beliau turut menegaskan bahawa pihaknya berusaha memastikan Malaysia bukan sahaja bersedia memasuki era digital, tetapi juga muncul sebagai peneraju digital serantau.
“Kita akan terus memacu Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030 dan Pelan Tindakan AI Negara 2026–2030 bagi memastikan Malaysia bukan sahaja bersedia memasuki era digital, tetapi juga mampu muncul sebagai pengeluar penyelesaian digital serantau,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi dan Sambutan Dua Tahun Kementerian Digital di sini, pada Jumaat.
Tambah beliau, sepanjang dua tahun penubuhan Kementerian berkenaan, beberapa kejayaan berjaya dicapai antaranya pewartaan akta dan menguatkuasakan perundangan penting seperti Akta Perkongsian Data 2025 [Akta 864] dan meluncurkan Dasar Pengkomputeran Awan Negara (NCCP).
“Pada 2025, KD beralih daripada fasa perancangan kepada pelaksanaan dengan pewartaan Akta Perkongsian Data 2025, peluncuran Dasar Pengkomputeran Awan Negara (NCCP) serta pelaksanaan projek rintis Bandar AI di Putrajaya dan tujuh bandar lain bagi memperkukuh infrastruktur digital negara,” jelasnya.
Majlis Sambutan Dua Tahun KD menjadi platform untuk mengiktiraf pencapaian kementerian, memperkukuh kepimpinan sektor digital, dan meneguhkan komitmen semua warga KD dalam memacu transformasi digital negara menjelang 2030.-Berita RTM
