KUALA LUMPUR: Malaysia selaku Pengerusi ASEAN akan memanggil Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar dalam masa terdekat untuk menilai situasi, menyokong langkah meredakan ketegangan serta mengukuhkan peranan kolektif negara anggota dalam memelihara keamanan serantau.
Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika berhubung melalui panggilan telefon dengan rakan sejawatnya dari Vietnam, Pham Minh Chinh.
Beliau berkata perbincangan bersama Perdana Menteri Vietnam itu antara lain berkisar perkembangan semasa di rantau ini serta usaha bersama untuk memastikan keamanan dan kestabilan terus terpelihara.
Dalam pada itu, Anwar turut menzahirkan komitmen Malaysia untuk memperkukuh kerjasama dua hala dengan Vietnam dalam menangani isu penangkapan ikan secara tidak sah, tidak dilaporkan dan tidak dikawal (IUU).
“Kerjasama ini termasuk penyelarasan penguatkuasaan, perkongsian maklumat dan langkah pencegahan.
“Saya yakin bahawa melalui dialog berterusan dan mekanisme sedia ada, isu ini dapat diselesaikan secara berhemah, tenang dan saling menghormati,” katanya melalui Facebook.
Vietnam adalah rakan dagang Malaysia ke-12 terbesar di dunia dan destinasi eksport ke-10 terbesar pada 2022, manakala Malaysia rakan dagang kesembilan terbesar republik sosialis itu.
Malaysia dan Vietnam merekodkan nilai dagangan AS$19.33 bilion pada 2022.-BH Online
