JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penyertaan rakyat termasuk peniaga kecil dan usahawan mikro perlu diberi keutamaan dalam setiap fasa pembangunan kawasan rangkaian pengangkutan stesen kereta api terutama di lokasi kecil serta luar bandar.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata stesen baharu ini bukan sekadar infrastruktur pengangkutan sebaliknya akan menjadi pusat kegiatan ekonomi baharu yang berpotensi menarik pelaburan tambahan dan perlu memanfaatkan penduduk setempat.
“Kita nak pastikan pusat dan gerai makanan di kawasan ini diperindah, serta perumahan, peluang pekerjaan dan apa-apa sahaja yang memberi manfaat kepada rakyat diperbanyak di sekitar lokasi ini.
“Ini kelainan dalam pendekatan Ekonomi MADANI, pembangunan mesti dilonjakkan ke tahap membanggakan tetapi pada masa sama, memerlukan keprihatinan, campur tangan terarah atau hidden handdaripada kerajaan dengan kerjasama sektor swasta termasuk syarikat besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyempurnaan dan Pengoperasian Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru yang disempurnakan oleh Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail di Stesen Kempas Baru di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Besar, Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Perdana Menteri juga berkata Johor misalnya, yang kini mencatat prestasi ekonomi memberangsangkan dengan pelaburan menghampiri RM100 bilion, perlu memanfaatkan stesen kereta api kecil di seluruh rangkaian.
“Johor sudah bertapak sebagai ekonomi gagah tetapi pendekatan ekonomi kita perlu bawa kepada peningkatan pendapatan rakyat dan pembangunan lebih menyeluruh,” katanya.
Mengenai Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru, Anwar berkata beliau bangga dengan penyempurnaan projek itu yang disifatkannya sebagai boleh menjadi model pembangunan negara dalam pembinaan infrastruktur pengangkutan.
“Rangkaian pengangkutan dan jaringan pengangkutan diperlukan untuk membangunkan negara, kita perlukan lapangan terbang, pelabuhan serta lebuh raya… kita hampir lengkapkan prasarana asas dan cabarannya ialah memastikan manfaat itu diperoleh rakyat.
Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru sepanjang 192 kilometer itu membabitkan pembinaan 11 stesen baharu yang direka berteraskan identiti serta warisan negeri Johor meliputi empat daerah utama iaitu Segamat, Kluang, Kulai dan Johor Bahru dengan stesen terakhir di JB Sentral.
Perdana Menteri juga berkata Kerajaan Persekutuan mengamalkan pendekatan yang lebih inklusif dengan mengambil kira input kerajaan negeri dalam setiap perancangan pembangunan termasuk penyediaan Belanjawan Negara dan Rancangan Malaysia.
Beliau berkata pendekatan kerajaan memberi penekanan kepada proses musyawarah, dengan pimpinan pusat turun ke negeri-negeri untuk mendengar pandangan, cadangan serta isu yang dibangkitkan sebelum sesuatu dasar dimuktamadkan. — BERNAMA
