Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 10 Disember – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen kerajaan untuk terus memperkukuh kebajikan penjawat awam melalui sistem saraan baharu yang sedang dimuktamadkan, sambil mengiktiraf peranan besar perkhidmatan awam dalam pencapaian negara ketika ini.

Datuk Seri Anwar berkata kejayaan Malaysia mendapat perhatian pelabur serta pengiktirafan antarabangsa termasuk menerusi Sidang ASEAN dan GCC-ASEAN adalah hasil kerja berpasukan penjawat awam di semua peringkat.

Jelasnya, sistem saraan baharu dirangka dengan tekad memastikan golongan penjawat awam di peringkat paling rendah turut menerima ganjaran yang adil dan setara, selaras dengan prinsip ihsan dan rahmah yang menjadi dasar pentadbiran MADANI.

“Prestasi Perdana Menteri baik atau lemah bergantung kepada kekuatan penjawat awam. Kita harus memastikan golongan bawahan juga diberi keadilan sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena Konvensyen Kongres Tritahunan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Ke-30 (Sesi 2025–2028) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, malam ini.

Beliau turut memuji kepimpinan CUEPACS yang disifatkan tegas, namun bertanggungjawab dalam menyampaikan tuntutan serta penghargaan terhadap usaha kerajaan.

Sebagai tanda sokongan terhadap penganjuran Konvensyen Tritahunan CUEPACS yang berlangsung selama tiga hari itu, Datuk Seri Anwar mengumumkan sumbangan tambahan RM500,000 untuk membantu kelancaran program tersebut.

Pada majlis berkenaan, Datuk Seri Anwar turut menyeru penjawat awam untuk terus memperkukuh semangat kerja berpasukan bagi melonjakkan martabat negara.

“Semoga Allah SWT memberi kekuatan kepada kita untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat,” katanya lagi.-Berita RTM