KUALA SELANGOR, 11 Disember – Malaysia sedang menggandakan usaha untuk mengurangkan kebergantungan negara terhadap bekalan daging import menjelang tahun 2030.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ia selaras dengan sasaran meningkatkan Kadar Sara Diri (SSR) komoditi ternakan bawah Dasar Agromakanan Negara 2021–2030 (DAN 2.0).
Kementerian kini memberi tumpuan kepada bantuan bersasar bagi penternak tempatan yang sudah memulakan operasi tetapi berdepan kekangan modal dan kepakaran.
“Kita kini lebih cenderung membantu mereka yang telah memulakan usaha tetapi kekurangan modal atau kepakaran. Kita juga mengimport anak lembu benih dan spesimen daripada luar negara untuk dibiak di Malaysia.
“Begitu juga, lembu hidup akan diimport untuk dibesarkan di sini, seterusnya melahirkan banyak baka baharu,” katanya ketika berucap merasmikan rumah sembelihan Colla Cattle Farm, di sini, hari ini.
Meskipun sektor ternakan negara menghadapi jurang yang ketara, khususnya bagi daging lembu dan kambing dengan SSR masing-masing sekitar 17 peratus dan sembilan peratus pada tahun 2024, pengeluaran daging ruminan tetap perlu dipertingkat.
Perkara itu boleh dicapai melalui pembukaan lebih banyak peluang pelaburan serta pemberian insentif kepada syarikat tempatan.
Ia merupakan usaha dalam mengurangkan kebergantungan terhadap import secara signifikan dalam tempoh enam tahun akan datang. Ketika ini ayam dan telur menunjukkan prestasi kukuh dengan SSR melebihi 90 peratus.
Menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), sektor ternakan disasarkan menyumbang tambahan nilai sebanyak RM19.7 bilion, meliputi peningkatan kapasiti pengeluaran, pembaikan sistem pemasaran, pengurangan kos makanan ternakan serta pembangunan vaksin dan kesihatan haiwan.
Kejayaan meningkatkan SSR daging tempatan menjelang 2030 memerlukan komitmen berterusan daripada kerajaan, industri dan penternak.
Majlis perasmian tersebut turut menandakan pembukaan sebuah lagi kemudahan penyembelihan moden yang dijangka dapat meningkatkan kapasiti pemprosesan daging tempatan di kawasan Kuala Selangor.
Dalam pada itu ketika mengulas mengenai banjir Datuk Seri Mohamad memaklumkan kementerian sedang meneliti laporan awal berhubung nasib petani dan penternak yang terjejas akibat banjir di beberapa negeri.
Ulasan terperinci mengenai bentuk bantuan dan sokongan tambahan akan diumumkan selepas beliau turun padang membuat lawatan ke kawasan terjejas minggu hadapan.-Berita RTM
