Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

JOHOR BAHRU: Sebanyak 75 peratus kelewatan projek di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) dikenal pasti berpunca daripada kontraktor, kata Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan.

Beliau berkata kelemahan pengurusan projek serta perancangan kewangan yang tidak teratur adalah dua faktor utama penyumbang kepada kelewatan berkenaan.

“Sebanyak 75 peratus kelewatan projek (di bawah KKR) disebabkan kontraktor, manakala selebihnya berpunca daripada isu pengambilan balik tanah dan utiliti.

“Kita tidak mempunyai banyak projek sakit, hanya sekitar lima peratus daripada keseluruhan projek yang dilaksanakan. Namun, lima peratus itu pun kita tidak mahu jika boleh dihindari,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan surat setuju terima bagi dua projek Persekutuan di Johor sempena Hari Profesional Teknikal Kebangsaan 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini, hari ini.

Ahmad berkata ramai kontraktor melakukan kesilapan dalam pengurusan kewangan termasuk menganggap bayaran pendahuluan pertama sebagai keuntungan.

“Jangan anggap bayaran pertama itu sebagai keuntungan. Itu tidak betul. Kaedah sebenarnya ialah keuntungan hanya boleh dinilai selepas projek disiapkan.

“Saya berharap dua isu ini, pengurusan projek dan pengurusan kewangan dapat diatasi oleh kontraktor yang menerima projek daripada KKR,” katanya.

Beliau menegaskan aspek pengurusan projek merangkumi penyediaan bahan binaan pada harga berpatutan dan mencukupi, selain memastikan sumber manusia yang memadai serta pematuhan tempoh siap kerja seperti ditetapkan.

Dalam aspek penguatkuasaan pula, katanya, kementerian akan memberikan amaran berulang sebelum mempertimbangkan tindakan penamatan kontrak.

“Kita hantar surat amaran sekali, dua kali dan boleh jadi sehingga tiga kali. Pegawai juga menasihati kontraktor dalam mesyuarat tapak mingguan dan bulanan.

“Namun jika kontraktor masih gagal mematuhi jadual, kontrak akan ditamatkan,” katanya.

Beliau berkata kontraktor yang ditamatkan akan disenaraihitamkan daripada memperoleh projek kerajaan selama dua tahun serta boleh dikenakan ganti rugi lewat siap termasuk menanggung perbezaan kos jika tender baharu perlu dikeluarkan.

“Ia membawa banyak komplikasi kepada mereka. Sebab itu kementerian sentiasa mengingatkan supaya projek disiapkan mengikut jadual atau lebih baik disiapkan lebih awal,” katanya.-BH Online