KUALA LUMPUR: Sebanyak 3,634 tapak pelupusan sampah haram dengan 1,530 tan sisa pepejal di tujuh negeri ditutup sejak 2011 sehingga Oktober lalu, membabitkan kos RM406,000.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata tindakan itu sekali gus menunjukkan kesungguhan kerajaan dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dalam menangani isu pembuangan sampah haram yang agresif dan berimpak tinggi.
Katanya, dalam sektor sisa pepejal, isu pembuangan sampah haram tidak boleh diselesaikan hanya melalui operasi semata-mata sebaliknya melalui pemantauan industri dan kawal selia yang ketat khususnya dalam kalangan pengendali pengurusan sisa komersial, perindustrian dan keinstitusian (CII) dan pembinaan (C&D).
“Pelaksanaan strategi baharu melalui Ops Pemutihan Pelesenan di bawah Akta 672 akan menjadi pemangkin kepada pengukuhan tadbir urus sektor sisa pepejal melalui proses pelesenan bagi menangani punca akar umbi aktiviti pembuangan sisa haram, dengan memperketat kawal selia rantaian perkhidmatan pemungutan sisa.
“Justeru, bagi 2025, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan SWCorp memperkenalkan hala tuju penguatkuasaan yang lebih menyeluruh, terancang dan bersifat pencegahan bagi memastikan tindakan undang-undang yang diambil bukan saja menghentikan pelaku, malah mengurangkan insiden berulang dalam jangka panjang.
“Menerusi penguatkuasaan itu, sebanyak 22 kes pembuangan haram dibawa ke mahkamah berserta denda berjumlah RM385,000 dikenakan hasil 4,268 operasi risikan yang dijalankan,” katanya pada Program Sentuhan Kejayaan KPKT Operasi Pembasmian dan Penutupan Tapak Sampah Haram 2025, di sini, hari ini.
Kor Ming berkata, sejak 2015 hingga Oktober lalu, SWCorp melaksanakan 185 sitaan kenderaan yang terbabit dalam aktiviti pembuangan sampah haram termasuk 23 kenderaan pada tahun ini dan permohonan bagi mendapatkan perintah melucut hak terhadap kenderaan yang disita.
“SWCorp turut meningkatkan keberkesanan pemantauan melalui pemasangan 47 unit kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi panas yang mengesan lapan kes pembuangan haram untuk tindakan lanjut.
“Pelaksanaan reformasi penguatkuasaan turut diperkukuh melalui penubuhan Unit Peronda Elit SWCorp yang dilengkapi 100 motosikal berkuasa tinggi bagi melaksanakan rondaan berfokus di kawasan panas serta lokasi yang sukar dicapai.
“Aset peronda yang mula beroperasi sejak Disember bertujuan untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan, keupayaan pemantauan serta keyakinan masyarakat terhadap keberkesanan tindakan penguatkuasaan SWCorp,” katanya.
Beliau berkata, reformasi penguatkuasaan, pendekatan pencegahan serta tindakan proaktif yang dilaksana secara konsisten mampu menghasilkan impak besar terhadap kelestarian persekitaran dan kesejahteraan rakyat.
“Terima kasih atas dedikasi dan iltizam berterusan yang ditunjukkan oleh SWCorp dalam memastikan isu pembuangan sampah haram ditangani secara efektif.
“Ia bukan saja meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan, malah memperkukuh aspirasi kita untuk mencapai sifar tapak sampah haram demi kesejahteraan rakyat dan kelestarian persekitaran negara,” katanya.-BH Online
