Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BANGKOK: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mengadakan lawatan kerja tiga hari ke Bangkok, Thailand mulai hari ini. 

Kementerian Luar dalam kenyataan, berkata Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat ke-14 Menteri-Menteri ASEAN dalam Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan serta Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan (AMRDPE).

Semasa mesyuarat itu, beliau dijangka menyampaikan Kenyataan Menteri bagi mengetengahkan usaha Malaysia dalam memperkukuh perkembangan awal kanak-kanak, serta pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), bagi melengkapkan belia luar bandar dengan kemahiran teknikal yang relevan dalam menghadapi Revolusi Perindustrian Keempat (4IR).

Kenyataan bersama akan dikeluarkan sejurus tamat mesyuarat terbabit.

Dalam kerangka lawatan itu, Timbalan Perdana Menteri turut dijadualkan mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul, yang turut memegang portfolio Menteri Dalam Negeri.

Ahmad Zahid akan diiringi pegawai kanan kerajaan dari Pejabat Timbalan Perdana Menteri, Kementerian Luar dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

Lawatan kerja ini dijangka dapat mengukuhkan lagi hubungan dua hala Malaysia-Thailand melalui pengukuhan kerjasama sedia ada, khususnya dalam bidang pembangunan halal, pembangunan luar bandar dan pembasmian kemiskinan.

Pada 2024, Thailand adalah rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN, dengan jumlah dagangan RM114.56 bilion (AS$25.03 bilion).

Dari Januari hingga Oktober 2025, jumlah dagangan dua hala mencecah RM98.19 bilion (AS$22.79 bilion), berbanding RM95.52 bilion (AS$20.79 bilion) dalam tempoh sama pada 2024.-BH Online