KUALA LUMPUR: Inisiatif pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya kini memasuki fasa kedua pelaksanaan yang akan memberi tumpuan kepada pemuktamadan struktur institusi dan penelitian keperluan pindaan Perlembagaan Persekutuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata fasa itu juga akan melihat kepada keperluan pindaan undang-undang berkaitan dan penggubalan undang-undang baharu.
Katanya, ia selaras dengan persetujuan Jemaah Menteri terhadap model pengasingan penuh peranan jawatan itu seperti yang diperincikan dalam Laporan Akhir Kajian Komparatif yang diserahkan beliau kepada Pasukan Petugas Khas Teknikal yang diketuai timbalannya, M Kulasegaran, pagi semalam.
“Laporan itu merumuskan hasil kajian komprehensif merangkumi perbandingan amalan terbaik antarabangsa dan pandangan lebih 7,000 responden melalui beberapa sesi perbincangan kumpulan fokus, soal selidik dan temu ramah.
“Pelaksanaan fasa kedua ini bagi memastikan pelaksanaan agenda reformasi ini berjalan secara menyeluruh dan berkesan,” kata beliau melalui platform X, malam tadi.
Pada 10 September lalu, kerajaan membuat keputusan mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, selepas Azalina membentangkan model pengasingan jawatan itu kepada Jemaah Menteri.
Selepas pertimbangan dibuat, Jemaah Menteri memutuskan untuk melaksanakan cadangan pengasingan penuh, yang mana kedua-dua jawatan itu diwujudkan secara berasingan dan setara dalam Perlembagaan Persekutuan.
Mengulas lanjut, Azalina berkata, hadir sama dalam perbincangan semalam, termasuk Ahli Parlimen Selayang, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pilihan (JKP) Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi, Dewan Rakyat, William Leong Jee Keen dan Ahli Dewan Negara, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Semakan Undang-Undang, Dewan Negara, Rita Sarimah Patrick Insol.
Selain itu, Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM), Datuk Zamri Misman; Peguam Cara II Negara, Datuk Seri Umar Saifuddin Jaafar; pegawai kanan kementerian dan agensi serta Presiden
Majlis Peguam, Datuk Mohamad Ezri Abdul Wahab
“Langkah ini mencerminkan komitmen utuh dan tekad politik Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memperkukuh kebebasan, integriti dan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara demi kesejahteraan rakyat, sejajar dengan kerangka falsafah Malaysia MADANI,” katanya.-BH Online
