KUALA LUMPUR, 10 Disember – Masalah teknikal membabitkan sistem Next Generation Emergency Services 999 (NG999) disahkan selesai sepenuhnya, selepas sesi perbincangan melibatkan Kementerian Komunikasi, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Telekom Malaysia Berhad (TM).
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata pertemuan yang diadakan bersama Menteri Kesihatan di ibu pejabat TM baru-baru ini berjaya menyelesaikan isu pelaksanaan sistem tersebut.
“Beberapa isu telah diuruskan dan hingga kini tiada lagi sebarang masalah melibatkan sistem. Kebanyakan isu yang berbangkit membabitkan aspek personel yang telah disusun semula oleh TM dan KKM.
“Hal itu juga telah diuruskan dengan baik, jadi alhamdulillah, hari ini tiada lagi sebarang isu berbangkit,” katanya ketika sesi penggulungan kementeriannya di Dewan Negara.
Menjawab persoalan Senator Dr A. Ligeshwaran, mengenai kemungkinan tindakan terhadap TM susulan gangguan lima hari awal pelaksanaan NG999, beliau menjelaskan perkara itu bergantung kepada semakan jawatankuasa yang ditubuhkan untuk menilai pelanggaran kontrak.
“Sekiranya ada penalti yang boleh dikenakan, saya serahkan kepada pasukan yang meneliti. Jika hasil semakan mendapati berlaku pelanggaran, kita akan ikut berpandukan kontrak yang telah ditandatangani,” tegas beliau.
Datuk Fahmi turut menegaskan NG999 dibangunkan di bawah tanggungjawab TM sebagai penyedia infrastruktur telekomunikasi pertama yang menerima panggilan kecemasan sebelum disalurkan kepada agensi seperti KKM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Sistem baharu itu menggantikan Malaysian Emergency Responsive Services (MERS999), dengan kos pembangunan dan pengoperasian selama 12 tahun berjumlah RM1.25 bilion, yang dilaksanakan mengikut prosedur termasuk ujian User Acceptance Test (UAT) yang telah dipersetujui KKM.
“Sewaktu sistem dihidupkan, dari segi proses dan prosedur semua telah ikut aturan. Maksudnya pihak Kementerian Kesihatan juga telah bersetuju menandatangani UAT. Ini adalah antara dapatan awal daripada kajian Kementerian Komunikasi dan KKM,” katanya.
Dalam perkembangan lain, kerajaan turut mempertimbang umur minimum 16 tahun bagi pengguna media sosial melalui Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866), susulan peningkatan risiko kandungan merbahaya kepada kanak-kanak.
Antara Januari 2022 hingga 30 November lalu, sebanyak 1,569 permohonan penurunan kandungan jelik melibatkan kanak-kanak dibuat, dengan 95 peratus daripadanya telah diturunkan.
Selain itu, 52,315 permohonan penurunan kandungan buli siber diterima Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, manakala 458,697 permohonan penurunan kandungan judi dalam talian turut diproses, dengan 96 peratus daripadanya diturunkan dalam tempoh sama.
Kerajaan juga menyokong pembangunan industri permainan digital tempatan melalui Dana Kandungan Digital dan Teknologi Kreatif (DKK). Setakat ini, 58 projek permainan telah disokong dan 38 ciptaan hak cipta berjaya dihasilkan antara 2022 hingga 2024.
Dalam isu penyelenggaraan kabel di kawasan pedalaman, Datuk Fahmi menjelaskan tugas tersebut terletak di bawah tanggungjawab penyedia perkhidmatan yang memasang dan menyelenggara infrastruktur termasuk kabel gentian optik.-Berita RTM
