Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 8 Disember – Seramai 860,016 individu bekerja sendiri mencarum dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (LINDUNG KENDIRI) yang dilaksanakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), setakat November lalu.

Jumlah ini merangkumi mereka yang terlibat dalam sektor pengangkutan barangan dan makanan, perkhidmatan penumpang serta penjaja.

Bagaimanapun menurut Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, penyertaan pencarum dari sektor seni masih kekal rendah, iaitu hanya 9,660 orang atau 1.12 peratus daripada keseluruhan individu bekerja sendiri yang dilindungi di bawah skim tersebut.

Sehubungan itu, sesi libat urus, program kesedaran dan pelbagai inisiatif promosi bersama pemegang taruh serta penggiat industri akan dipertingkatkan supaya lebih ramai pekerja sendiri dalam sektor seni mendapat manfaat perlindungan keselamatan sosial.

Katanya, kerajaan turut memperuntukkan subsidi 70 peratus melalui Belanjawan 2026 bagi menampung caruman LINDUNG KENDIRI untuk sektor yang belum diwajibkan.

“Ini termasuk sektor kreatif, bagi menggalakkan penyertaan lebih meluas dalam kalangan penggiat seni,” tambahnya.

Beliau turut memaklumkan PERKESO telah menyalurkan manfaat kepada 6,815 penerima dalam kalangan pencarum LINDUNG KENDIRI, dengan jumlah pembayaran keseluruhan mencecah RM25.9 juta bagi tempoh Januari hingga Oktober 2025.

“Sehubungan itu, saya menyeru agar lebih ramai penggiat seni memanfaatkan skim tersebut, selaras usaha kerajaan memperkukuh jaringan keselamatan sosial untuk semua rakyat,” tegas beliau menerusi satu kenyataan ketika menghadiri Program Muzikalisasi LINDUNG: Hati Nan Prihatin, anjuran PERKESO bersama dengan Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini malam ini.

Program seni persembahan itu menampilkan bacaan puisi, sketsa, syair dan monolog sebagai medium kreatif untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan perlindungan sosial.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KESUMA, Sutekno Ahmad Belon; Pengerusi Lembaga Pengelola DBP yang juga Sasterawan Negara, Dato’ Dr. Anwar Ridhwan; Pengerusi Lembaga PERKESO, Dato’ Sri Subahan Kamal, Presiden PROFIMA, Khalil Saleh, serta Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr. Mohamad Saleeh.-Berita RTM