KUALA LUMPUR, 9 Disember – Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memantau kandungan memudaratkan dalam talian termasuk eksploitasi seksual kanak-kanak.
Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching menegaskan tindakan akan diambil jika kandungan tersebut menyalahi Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) seperti penerbitan bahan lucah dan jelik melibatkan kanak-kanak.
“MCMC juga menjalankan libat urus berterusan dengan penyedia platform bagi memastikan perkhidmatan dan algoritma mereka lebih telus serta mematuhi peraturan tempatan.
“Kerjasama dengan PDRM turut diperkukuh melalui operasi seperti Ops Pedo 1.0 pada tahun 2024 dan Ops Pedo 2.0 pada tahun ini bagi membanteras kandungan memudaratkan dan pedofilia,” katanya.
Tambah beliau, MCMC kini sedang memuktamadkan peraturan dan kod subsidiari di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) dengan tumpuan khusus kepada perlindungan kanak-kanak dalam talian dan penetapan kandungan mengikut kesesuaian umur.
Selain itu, berhubung isu keselamatan kanak-kanak dalam permainan dalam talian, Nie Ching berkata kerajaan sedang meneliti perkara tersebut secara menyeluruh dan sesi libat urus akan diadakan dengan pihak berkepentingan bagi mendapatkan pandangan serta input yang komprehensif.
Sementara itu, walaupun kandungan dalam platform permainan dalam talian bukan kategori perkhidmatan yang dilesenkan buat masa ini, beliau turut menegaskan tindakan penguatkuasaan boleh diambil berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.
“Tindakan penguatkuasaan tetap boleh dilaksanakan sekiranya kandungan tersebut didapati menyalahi undang-undang seperti peruntukan Seksyen 233 (Akta 588) atau apabila aduan kesalahan dibuat oleh mana-mana individu atau pihak berkuasa,” jelas beliau lagi.
Beliau menjawab soalan dikemuka Senator Norhasmimi Abdul Ghani berhubung langkah kerajaan memantau aktiviti pedofilia di ruang digital di Dewan Negara.-Berita RTM
