KUALA LUMPUR, 9 Disember – Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan kutipan hasil RM3 bilion menerusi sektor pelancongan kesihatan pada tahun ini dengan kehadiran seramai 2.5 juta pelancong kesihatan.
Sasaran itu mengambil kira momentum semasa, selepas Malaysia mencatatkan kehadiran 1.6 juta pelancong kesihatan dengan hasil RM2.72 bilion pada tahun lepas.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata keyakinan itu diperkukuh menjelang penganjuran Tahun Pelancongan Perubatan Malaysia (MYMT) 2026 selaras kesediaan kementeriannya meningkatkan kapasiti dan kualiti perkhidmatan bagi menarik kehadiran lebih ramai pesakit antarabangsa.
“Ini adalah unjuran kami di KKM. Kami yakin mampu melebihi sasaran kutipan hasil ini. Kita akan berusaha untuk mencapai KPI seperti yang telah ditetapkan,” kata beliau pada sidang media Majlis Anugerah Flagship Medical Tourism Hospital (FMTH) 2025, di sini hari ini.
Jelas Datuk Seri Dr Dzulkefly, pengiktirafan itu satu pencapaian penting yang mencerminkan komitmen berterusan negara terhadap kecemerlangan klinikal serta penyampaian perkhidmatan kesihatan berkualiti tinggi.
Sektor itu kekal sebagai tonggak utama dalam memperkukuh daya tahan ekonomi jangka panjang negara, di samping meningkatkan reputasi antarabangsa Malaysia sebagai penyedia penjagaan kesihatan berkualiti.-Berita RTM
