PUTRAJAYA: Skor tinggi dalam aspek kestabilan politik, kedaulatan undang-undang, kualiti institusi, kawalan rasuah, serta hak asasi manusia dan kebebasan politik, menyokong pengesahan semula penarafan kredit berdaulat Malaysia pada BBB+ dengan tinjauan ‘stabil’ oleh Fitch Ratings.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyifatkan pengesahan Fitch sebagai bukti kekuatan struktur ekonomi negara, selain diperkukuh prestasi cemerlang Malaysia dalam penunjuk utama alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG).
“Malaysia telah berjaya mengharungi ketidaktentuan tarif yang mencorakkan sebahagian besar tahun 2025, yang berakhir dengan satu perjanjian saling menguntungkan bagi menyokong eksport serta memperkukuh kedudukan ekonomi kita,” katanya dalam satu kenyataan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan, walaupun keadaan global kekal mencabar, kerajaan akan terus melaksanakan reformasi yang digariskan di bawah kerangka Ekonomi MADANI.
Kerajaan MADANI telah memperkenalkan beberapa reformasi utama termasuk Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (Akta 850), Akta Perolehan Kerajaan 2025, serta Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Awam 2025, yang dijangka mengukuhkan kawal selia serta memastikan asas institusi negara terus teguh.
Terdahulu, Fitch menegaskan Malaysia mencapai skor dalam ESG tinggi terutama dalam aspek kestabilan politik, kedaulatan undang-undang, kualiti institusi, kawalan rasuah, serta hak asasi manusia dan kebebasan politik, yang menjadi pelengkap penting kepada keyakinan pelabur terhadap keteguhan asas ekonomi negara.
Menurut laporan agensi penarafan itu, kestabilan politik yang semakin kukuh sejak dua tahun kebelakangan ini telah mewujudkan kepastian dasar yang lebih mantap, seterusnya memacu prospek pertumbuhan jangka sederhana dan mempertingkat daya tahan fiskal negara.
Fitch mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 2025 mencecah 4.6 peratus, hampir mencapai paras tertinggi dalam julat unjuran rasmi kerajaan iaitu antara 4.0 hingga 4.8 peratus.
Pasaran buruh juga dijangka kekal kukuh hingga 2026, dengan kadar pengangguran berada pada paras terendah sejak 11 tahun lalu.
Momentum pertumbuhan itu turut dipacu oleh pelaburan modal berkaitan kecerdasan buatan (AI) yang semakin rancak dan peningkatan pelaburan teknologi sebanyak 13.2 peratus tahun ke tahun bagi sembilan bulan pertama 2025.
Fitch turut mengiktiraf keberkesanan langkah konsolidasi fiskal apabila defisit Kerajaan Persekutuan diunjurkan mengecil kepada 3.8 peratus daripada KDNK pada 2025, berbanding 5.5 peratus pada 2022, hasil pengukuhan kutipan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) serta reformasi subsidi yang lebih tersasar.
Defisit dijangka terus menurun kepada 3.5 peratus pada 2026, dengan sasaran 3.0 peratus menjelang 2028 dianggap mampu dicapai.
Melangkah ke hadapan, Perdana Menteri berkata, kerajaan komited meneruskan usaha peluasan hasil, pengoptimuman perbelanjaan, dan rasionalisasi subsidi bagi memastikan penggunaan sumber negara yang lebih efisien.
“Penyaluran penjimatan ini bertujuan untuk menyokong pewujudan pekerjaan berkemahiran dan berpendapatan tinggi, seterusnya meningkatkan kedudukan negara dalam rantaian nilai global agar kekal berdaya tahan mendepani ketidaktentuan global,” katanya.-BH Online
