KUALA LUMPUR, 9 Disember – Kerajaan melaksanakan Whole of Government Approach atau pendekatan keseluruhan kerajaan bagi menguruskan hal ehwal orang kurang upaya (OKU) di negara ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, selain Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang bertindak sebagai penyelaras utama bagi pendaftaran OKU dan penyampaian khidmat sosial, kementerian dan agensi yang lain turut terlibat bagi menjamin kebajikan golongan tersebut.
“Aspek lain seperti pendidikan, kesihatan, pekerjaan, aksesibiliti, pengangkutan awam dan pembangunan masyarakat turut melibatkan kementerian dan agensi lain yang lebih kepakaran dalam bidang masing-masing.
“Pendekatan rentas kementerian ini bertujuan memastikan setiap komponen kehidupan OKU ditangani secara menyeluruh oleh pihak yang mempunyai kepakaran teknikal, perundangan dan operasional yang tepat,” katanya.
Beliau menjawab soalan dikemukakan Senator Isaiah D Jacob berkenaan hasrat kerajaan sama ada menubuhkan satu Jabatan Hal Ehwal OKU sebagai jabatan tunggal yang menyelaras semua urusan golongan tersebut berikutan jumlah OKU berdaftar bawah JKM kini melebihi 750,000 orang
Dalam pada itu Datuk Seri Dr Noraini menjelaskan Jabatan Pembangunan OKU (JPOKU) bawah JKM telah ditubuhkan pada 1 September 2008 menerusi Akta OKU 2008 dan telah mula beroperasi pada 1 Mei 2009.
Menerusi penubuhan JPOKU, ia menjadi cetusan kepada kebangkitan golongan OKU bagi menuntut hak dan peluang sama rata mereka di negara ini.-Berita RTM
