JOHOR BAHRU, 9 Disember – Sebanyak 511,544 unit Rumah Mampu Milik (RMM) disediakan di seluruh negara, melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, jumlah itu merangkumi RMM siap dibina, sedang dibina dan telah memperoleh Kelulusan Merancang.
Sekali gus merupakan pencapaian membanggakan, berikutan kejayaan melepasi sasaran 500,000 unit seperti ditetapkan.
Lembah Klang, Selangor dan Johor antara yang paling banyak RMM dibina berikutan jumlah penduduk yang padat.
“Bulan ini merupakan bulan terakhir Rancangan Malaysia ke-12. Sebelum ini, setiap kerajaan dibawah Rancangan Malaysia akan tetapkan sasaran membina rumah-rumah mampu milik. Belum pernah ada kerajaan terdahulu berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan. Kerajaan Madani dibawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi kerajaan pertama yang mencipta sejarah bukan sahaja mencapai, tapi melepasi sasaran,” katanya pada Majlis Penyerahan Kunci Vista Tiara di Danga Bay di sini.
Sementara itu KPKT turut menyasarkan sifar projek terbengkalai menjelang 2030 hasil Reformasi Perumahan Madani yang dilancarkan KPKT pada 20 November lalu, termasuk pengenalan Akta Pemajuan Harta Tanah dan Perjanjian Jual Beli (SPA) secara elektronik melalui eSPA.
Setakat ini, sebanyak 1,333 projek sakit dan terbengkalai di seluruh negara berjaya diselamatkan KPKT, melibatkan 160,000 unit rumah dalam tempoh tiga tahun.-BH Online
