Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Orang ramai diminta tampil melaporkan maklumat berhubung pihak yang mengalihkan tanda amaran dan penghadang konkrit di lokasi kemalangan di Hulu Terengganu, baru-baru ini. 

Saranan itu dikemukakan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, bagi membantu siasatan kes membabitkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) terjunam ke dalam gaung sedalam 61 meter.

Beliau antara lain menyifatkan tindakan terbabit sebagai perbuatan serius memandangkan langkah keselamatan di kawasan itu sudah diambil dan ia mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Jika dakwaan (tanda amaran dan penghadang jalan) dialihkan, penting untuk kita tahu siapa yang mengalihkannya.

“Kementerian Kerja Raya (KKR) memang tidak mengalihkan dan memang kita buat langkah keselamatan,” katanya.

Beliau yang turut menjalankan tugas dan fungsi Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata demikian pada sidang media selepas perjumpaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama warga KKR) sempena Himpunan Bulanan kementerian itu di sini, hari ini. 

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ketua Setiausaha KKR, Datuk Seri Azman Ibrahim.

BH pada Jumaat lalu melaporkan, SUV jenis Toyota Fortuner dinaiki bakal pasangan pengantin terjunam ke dalam gaung di Kilometer 52 Jalan Kuala Jeneris-Sungai Gawi–Aring (Bukit Kawah), kira-kira jam 5.30 petang.

Mangsa masing-masing seorang guru, Hassan Shazali, 52, dan pengusaha kantin sekolah, Suzaimah Che Azis, 34, maut di lokasi kejadian akibat parah selepas kenderaan itu terjunam ke dalam gaung.

Jenazah Hassan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kedai Menanti, Pasir Puteh pada jam 9.10 malam, manakala Suzaimah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lebir, Gua Musang pada jam 9.26 malam Sabtu.

Polis dilapor memaklumkan faktor kecuaian dipercayai menjadi punca insiden itu, selain pemeriksaan mendapati tanda amaran dan penghadang konkrit di lokasi kejadian dialihkan pihak tidak bertanggungjawab.

Nanta Linggi berkata, siasatan di lokasi kejadian sedang dijalankan mengikut tatakelola KKR, namun pihaknya setakat ini belum mengenal pasti pihak mengubah kedudukan penghadang keselamatan terbabit.

“Kita belum tahu lagi (siapa yang mengubah penghadang keselamatan). Jika sesiapa tahu, mohon maklumkan kepada kita,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kapit itu.

Terdahulu, Nanta Linggi ketika berucap pada program itu berkata, 43,978 aduan diterima melalui platform MyJalan antara Ogos 2023 hingga September lalu, dengan 13,451 daripadanya membabitkan kerosakan jalan seliaan kementerian dan agensinya.

Beliau berkata, sebanyak 30,527 aduan lagi dalam kategori ‘No Wrong Door’ yang disalurkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta agensi berkaitan untuk tindakan.

Paling signifikan, katanya, 12,890 atau 95.83 peratus daripada 13,451 aduan di bawah kementerian berjaya diselesaikan, selain keupayaan itu akan dipertingkat melalui aplikasi MyJalan 2.0.

“Inisiatif MyJalan kekal sebagai platform utama kerajaan dalam mempertingkat penyelenggaraan jalan raya secara responsif dan berasaskan data.

“MyJalan 2.0 pula menawarkan integrasi pintar, penjejakan status masa nyata serta analitik keselamatan bagi membolehkan penambahbaikan dilaksanakan secara lebih proaktif, cepat dan efisien,” katanya.-BH Online