KUALA LUMPUR, 8 Disember – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa Sabah serta negeri-negeri lain yang berdepan masalah asas kekal sebagai fokus utama kerajaan, dengan pelaksanaan projek akan dipantau secara lebih tegas melalui mesyuarat pemantauan bulanan.
Berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Anwar berkata beliau memahami keresahan rakyat Sabah yang telah lama berdepan isu air, elektrik dan jalan berlubang, meskipun kerajaan telah meluluskan peruntukan terbesar dalam sejarah untuk negeri itu.
“Saya faham rakyat Sabah resah. Menteri berganti, kerajaan berganti, Perdana Menteri berganti, tetapi bekalan air tetap belum tersedia. Elektrik belum dipasang, jalan pula berlubang. Mereka masih belum yakin, dan saya tidak menyalahkan mereka,” katanya.
Menurut Perdana Menteri, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan kira-kira RM17 bilion bagi pembangunan dan operasi di Sabah, termasuk hampir RM1 bilion untuk air dan RM1.2 bilion bagi bekalan elektrik, namun menegaskan bahawa nilai peruntukan tidak bermakna jika pelaksanaan tidak cepat dan berkesan.
Perdana Menteri berkata, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan agensi akan mengadakan mesyuarat pemantauan bulanan terus di lapangan, termasuk di Kota Kinabalu, bagi memastikan projek kritikal tidak lagi tertangguh.
“Kita akan memantau pelaksanaan program-program ini, dan semua Menteri juga akan meneliti projek-projek berkenaan. Bagi projek lain yang melibatkan kementerian, Unit Penyelarasan JPM akan memastikan mesyuarat bulanan diadakan di Kota Kinabalu.
“Tujuannya adalah untuk menyelesaikan tiga perkara paling penting bagi rakyat iaitu jalan, elektrik, dan bekalan air secepat mungkin,” tegasnya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menekankan bahawa kestabilan politik sepanjang tiga tahun pentadbiran kerajaan perpaduan adalah faktor penting yang membolehkan kerajaan menumpukan sepenuhnya kepada agenda pembangunan.
“Kestabilan politik negara harus dimanfaatkan untuk melaksanakan program yang jelas. Saya tidak katakan ia mudah, tetapi walaupun sukar selepas setahun, selepas tiga tahun orang akan mula membuat penilaian,” menurut beliau lagi.-Berita RTM
