Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEREMBAN: Pembangunan pesat dan kemasukan pelaburan baharu berterusan menjadikan Negeri Sembilan sebagai antara destinasi pelaburan paling dinamik di Semenanjung, sekali gus memperkukuh kedudukan negeri itu sebagai hab ekonomi yang semakin menarik minat pelabur.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chennah berkata aliran masuk pelaburan dapat dilihat melalui pembinaan kilang baharu dan peningkatan pembelian tanah, yang seterusnya menyumbang kepada peningkatan kutipan premium tanah kerajaan negeri.

“Hal ini amat jelas sekali menerusi hasil bukan cukai, unjuran bagi 2026, iaitu RM372 juta yang sebahagian besarnya daripada premium tanah, begitu juga dua tahun yang lepas.

“Bagi meneruskan pungutan hasil yang tinggi ini, sasaran kerajaan negeri untuk mencapai pungutan hasil sebanyak RM1 bilion menjelang 2030 bukan suatu perkara yang mustahil, tetapi kerajaan negeri perlu pastikan iklim pelaburan dalam negeri ini konsisten positif dengan menarik minat pelabur,” katanya pada sesi perbahasan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan di sini hari ini.

Loke berkata sasaran kerajaan negeri untuk mencapai kutipan hasil RM1 bilion menjelang 2030 adalah realistik berdasarkan momentum pelaburan semasa, namun memerlukan usaha berterusan bagi memastikan iklim pelaburan kekal kondusif dan positif.

Beliau berkata projek Seremban Sentral ialah pemacu penting kebangkitan baharu bandar itu sebagai pusat ekonomi moden dan mampan serta menjadi mercu tanda baharu Seremban. 

Ahli Parlimen Seremban itu berkata pembangunan berkenaan melibatkan pembinaan pusat beli-belah, pusat perubatan swasta dan menara pejabat yang akan diintegrasikan dengan Stesen Keretapi Seremban, sekali gus menjadikan kawasan itu hab pengangkutan yang lebih strategik.

Loke berkata kepentingan Seremban sebagai hab mobiliti dijangka meningkat dengan pembinaan stesen baharu serta pelancaran perkhidmatan ETS Selatan (Kuala Lumpur–Johor Bahru) pada minggu ini.

Kerajaan pusat juga katanya, sedang melaksanakan kerja menaik taraf dan membangunkan semula landasan berkembar Seremban–Kuala Lumpur, dijangka siap dalam tempoh satu hingga dua tahun.

Dalam pada itu, Datuk Saiful Yazan Sulaiman (BN-Johol) berkata negeri ini mencatat prestasi ekonomi yang stabil dan dijangka berkembang pada kadar 3.7 hingga empat peratus pada tahun depan, selari dengan ramalan pertumbuhan ekonomi negara.

“Situasi ini menunjukkan negeri ini berada pada landasan kukuh meskipun berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi global, kadar pengangguran berjaya dikekalkan pada paras rendah kira-kira 2.9 peratus, manakala inflasi terkawal dalam 1.7 peratus.

“Perkara ini bukan sahaja memberikan keyakinan kepada pelabur, malah turut memberikan kelegaan kepada rakyat, bagi saya prestasi ini mencerminkan asas kekuatan ekonomi negeri yang disokong oleh sektor pembuatan, pertanian moden, pelancongan serta peningkatan produktiviti dalam kalangan tenaga kerja,” katanya.

Saiful turut memuji kejayaan negeri yang berjaya menarik pelaburan sebanyak RM7.2 bilion pada 2024 dan RM6.2 bilion setakat suku ketiga tahun ini dengan unjuran RM8 bilion pada tahun depan.

Dalam perkembangan lain, Ketua Pembangkang, Mohamad Hanifah Abu Baker (PN-Labu) menggesa kerajaan negeri supaya memasang mercu tanda bersempena dengan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 di pintu-pintu masuk utama negeri bagi memastikan promosi dapat diperluas dan dilaksanakan lebih awal.

Mohamad Hanifah juga memuji langkah kerajaan negeri menaikkan bonus kepada penjawat awam antara dua hingga tiga bulan gaji berdasarkan prestasi, namun beliau meminta penjelasan terperinci berhubung kaedah penilaian agar keputusan tidak dianggap kabur atau subjektif dan indikator prestasi sebenar dapat diperjelaskan.

Persidangan DUN bersambung esok.– BERNAMA