Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: MARA terus komited membantu pelajar daripada keluarga miskin dan B40 untuk merubah hidup mereka, kali ini melalui kerjasama dengan syarikat penerbangan Batik Air.

Melalui kerjasama itu, seramai 50 pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daripada keluarga B40 akan dipilih untuk mengikuti pengajian dalam bidang kejuruteraan penerbangan.

Perkara itu dipersetujui pada pertemuan antara Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Batik Air, Datuk Chandran Rana Muthy, pagi tadi.

Asyraf Wajdi berkata, pelajar yang dipilih akan mengikuti kursus profesional kejuruteraan berimpak tinggi seperti pengkomputeran, ‘aided’, pesawat dan reka bentuk (CAAD), Program Lesen Penyelenggaraan Pesawat dan avionik, khususnya dalam sektor penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) yang sangat kritikal kepada operasi syarikat penerbangan seperti Batik Air.

Beliau berkata, Batik Air sedia melatih pelajar berkenaan dan mengambil mereka untuk terus bekerja dengan gaji minima RM3,500. 

“Jika mereka lulus sijil profesional kejuruteraan CAAD yang diiktiraf antarabangsa selama empat tahun pengajian, mereka juga boleh mendapat gaji antara RM15,000 hingga RM20,000.

“Insya-Allah, jika program rintis 50 orang pertama ini berjaya, MARA akan meluaskan lagi program ini melalui institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) MARA, yang saya dimaklumkan mempunyai permintaan yang amat tinggi dalam industri penerbangan, bukan hanya dalam negara bahkan di peringkat antarabangsa,” kata beliau dalam Facebooknya hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, proses pemilihan pelajar akan dibuat berdasarkan keputusan percubaan SPM, sejurus selepas pelajar selesai peperiksaan pada tahun ini.

“Dijangkakan pada suku pertama tahun depan, kita akan mengambil kumpulan pertama untuk menjalani program ini.

“Saya yakin, hanya dengan ilmu dan kemahiran tinggi saja boleh merubah nasib anak-anak bangsa yang datang dari latar keluarga berpendapatan rendah dan miskin. 

“MARA komited untuk membantu anak-anak B40 dan miskin bagi merubah kehidupan mereka,” katanya.

Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata, pada pertemuan dengan Chandran, beliau terus bersetuju untuk memulakan kerjasama berkenaan, dengan meletakkan sasaran proses pemilihan dan boleh terus dilaksanakan pada pertengahan tahun ini.

“Saya orang yang bertindak. Tidak perlu banyak sangat mesyuarat.

“Lagi pun kerajaan sendiri mengumumkan negara mengalami kekurangan jurutera seramai 60,000 orang dan dengan melebarkan kerjasama latihan bersama industri, seperti Batik Air, saya yakin MARA boleh membantu secara lebih berkesan,” katanya.-BH Online