BANGI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mewujudkan Pelan Tindakan Food Bank 2026-2030 yang dijangka siap dan akan dilancarkan pada awal tahun depan.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata selepas enam enam tahun program Food Bank diselia di bawah sekretariat kementerian sejak 2019, sudah tiba masanya satu transformasi dilaksanakan.
“Kita mahu program Food Bank Malaysia menjadi pelengkap dan sokongan kepada ekosistem jaringan keselamatan yang ada di Malaysia.
“Melangkah ke hadapan bermula 2026, kita perlu melaksanakan transformasi dengan mengambil kira amalan terbaik dan pengalaman pelbagai pemegang taruh,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Food Bank 2025 di Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC) di sini, hari ini.
Armizan berkata, pelan tindakan itu akan memberi tumpuan kepada dua komponen utama iaitu kemampanan dan sekuriti makanan serta bagaimana ia berperanan dalam membantu kos sara hidup rakyat.
Katanya, pelan itu juga akan menggunakan pendekatan ‘Whole of Nation’ bagi mengatasi jurang operasi sedia ada.
“Ini termasuk memastikan bantuan sampai ke kawasan atau negeri tertentu yang mungkin belum disantuni sepenuhnya oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bergerak secara bersendirian sebelum ini,” katanya.
Susulan itu, beliau berkata, dapatan daripada Konvensyen Food Bank 2025 yang julung kali dianjurkan KPDN itu, akan dijadikan asas untuk mewujudkan pelan yang holistik dan komprehensif itu.
“KPDN juga akan menganjurkan pelbagai sesi libat urus bagi mendapatkan input dan maklum balas sebelum memuktamadkan penyediaan pelan berkenaan,” katanya.
Sementara itu, ketika berucap, Armizan berkata, bermula 2019 hingga 31 Oktober lalu, program Food Bank yang diselia melalui Sekretariat Food Bank Malaysia KPDN bersama rakan strategik berjaya membabitkan 1,164,932 ketua isi rumah dan 51,200 pelajar.
Katanya, ia termasuk melalui inisiatif Program Food Bank Komuniti dan Food Bank Siswa.
“Program ini juga membabitkan komponen penyelamatan makanan dengan sejumlah 6,511 tan lebihan makanan,” katanya.
Justeru, Armizan berkata, transformasi bagi memperkukuh pelaksanaan Program Food Bank Malaysia adalah penting untuk menambah nilai dan makna inisiatif ini sebagai sokongan serta pelengkap dalam ekosistem jaringan keselamatan sosial negara.
“Pada masa sama, ia penting untuk menyokong komitmen Malaysia terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 12.3 yang menyasarkan pengurangan separuh daripada pembaziran makanan pada peringkat industri dan pengguna menjelang 2030,” katanya.-BH Online
