KUALA LUMPUR: Malaysia menyeru Kemboja dan Thailand merujuk kembali serta mematuhi Perenggan Ketujuh Perjanjian Gencatan Senjata bertarikh 28 Julai lalu.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata saranan itu dibuat dalam semangat persefahaman serantau dan kepatuhan kepada komitmen terdahulu menerusi Perjanjian Damai Kuala Lumpur.
“Perenggan berkenaan menyatakan kedua-dua pihak perlu segera berunding di peringkat tempatan melalui mekanisme dua hala sedia ada bagi mengelak keadaan di sempadan terus memuncak, jika berlaku konflik bersenjata, sama ada secara sengaja atau tidak. “Malaysia percaya keamanan dan kestabilan dapat dikekalkan demi kepentingan bersama rantau ini melalui dialog berterusan, langkah diplomatik konstruktif serta penghormatan terhadap mekanisme dua hala sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas tindakan Thailand melancarkan serangan udara ke atas Kemboja selepas pertempuran baharu tercetus di sempadan kedua-dua negara itu.
Tindakan Thailand itu, sekali gus menandakan kemungkinan pelan damai dipengerusikan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dua bulan lalu.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan kedua-dua pihak saling menuduh melancarkan serangan di lokasi sempadan dipertikaikan pagi tadi, selepas beberapa minggu ketegangan memuncak dan penggantungan kemajuan perjanjian gencatan senjata oleh Thailand.
Ini susulan seorang anggota tentera Thailand dilapor maut dan beberapa lagi cedera dalam pertempuran baharu yang tercetus di sempadan dengan Kemboja.
Tentera Thailand hari ini, melaporkan kejadian berlaku apabila tentera Kemboja melepaskan tembakan ke arah pasukan Bangkok awal pagi tadi di Wilayah Ubon Ratchathani.
Ia sekali gus meningkatkan semula ketengangan selepas kedua-dua negara saling menyalahkan atas tercetusnya pertempuran terbaharu di sepanjang sempadan mereka.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, Kerajaan Malaysia menegaskan keamanan, kestabilan dan kesejahteraan serantau kekal sebagai keutamaan utama Malaysia.
“Malaysia memandang serius perkembangan terkini di sempadan Thailand–Kemboja, selain menyeru semua pihak mengambil langkah segera bagi meredakan keadaan serta mengelakkan sebarang insiden boleh menjejaskan usaha perdamaian dicapai sebelum ini.
“Malaysia mengiktiraf komitmen kedua-dua negara melalui Perjanjian Gencatan Senjata pada 28 Julai lalu, Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) pada 7 Ogos, serta Perjanjian Damai Kuala Lumpur dimeterai, pada 26 Oktober,” katanya.-BH Online
