Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 8 Disember – Sebanyak 20,000 cerun di seluruh negara sedang dipantau rapi sebagai langkah memastikan keselamatan infrastruktur jalan raya terutama pada musim hujan, menurut Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata daripada jumlah itu, kira-kira 3,000 cerun dikenal pasti sebagai berisiko tinggi, sekali gus memerlukan pemantauan lebih teliti oleh Cawangan Kejuruteraan Cerun, Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Kita ada cawangan khas di JKR iaitu Cawangan Kejuruteraan Cerun yang memantau 20,000 cerun di seluruh negara. Daripada jumlah itu, kira-kira 3,000 cerun dikenal pasti sebagai ‘warna merah’ dan dipantau rapi bagi memastikan ia tidak runtuh atau jika runtuh sekalipun, tidak memudaratkan,” katanya menjawab soalan Senator Wan Martina Wan Yusoff di Dewan Negara hari ini.

Menjelaskan lanjut, Ahmad berkata kerajaan menyediakan dua bentuk peruntukan bagi menangani risiko cerun, iaitu peruntukan proaktif untuk memastikan cerun kekal stabil dan tidak runtuh, serta peruntukan reaktif bagi kerja-kerja pembaikan cerun yang telah mengalami kerosakan atau runtuhan.

Beliau menambah bahawa Bilik Gerakan Bencana turut diaktifkan pada musim hujan bagi mempertingkat keselamatan pengguna jalan raya melalui pemantauan dan tindakan segera jika berlaku insiden tanah runtuh.-Berita RTM