SERDANG: Pemaju perumahan dicadangkan supaya mengurangkan bilangan tempat letak kenderaan bagi projek baharu yang dibangunkan berhampiran dengan stesen pengangkutan awam, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Beliau berkata cadangan itu disampaikan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan memandangkan syarat minimum satu atau dua petak parkir bagi setiap unit kediaman menjadi antara faktor peningkatan harga sesebuah kediaman.
“Kalau projek berdekatan dengan stesen pengangkutan awam seperti LRT atau MRT, mungkin boleh dikurangkan keperluan tempat letak kereta untuk menggalakkan penghuni menggunakan pengangkutan awam,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan bangunan pejabat baharu Multiplex Land Sdn Bhd dan prapelancaran Residensi Alamanda Heights di sini hari ini.
Loke berkata beberapa projek berorientasikan transit (TOD) di Kuala Lumpur telah dibenarkan memohon kelonggaran syarat parkir daripada pihak berkuasa tempatan.
Bagaimanapun, beliau berkata saranan itu khusus untuk projek baharu dan menyasarkan golongan muda yang tinggal berdekatan dengan rangkaian rel bandar.
“Sekiranya duduk dekat dengan stesen pengangkutan awam, mungkin keperluan untuk memiliki kereta itu lebih rendah, sekali gus dapat menjimatkan kos kehidupan mereka,” katanya dan menambah langkah itu juga dapat menggalakkan peralihan jangka panjang kepada gaya hidup yang lebih bergantung pada pengangkutan awam. – BERNAMA
