SERDANG, 7 Disember – Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) perlu bergerak dengan pendekatan lebih menyeluruh dan tidak lagi bergantung pada kaedah lama.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata cabaran utama KEMAS ketika ini adalah transformasi pendidikan awal kanak-kanak, susulan generasi muda yang membesar dalam persekitaran digital serta terdedah kepada telefon pintar dan kandungan interaktif seawal usia dua atau tiga tahun.
Menurut beliau, pemodenan pendidikan awal, keperluan pendidikan inklusif, peningkatan kompetensi tenaga kerja dan cabaran masyarakat desa masa kini menuntut KEMAS berubah dengan begitu pantas, sekali gus dapat menyesuaikan diri dengan realiti baharu dalam pembangunan komuniti.
“Setiap kali saya melihat wajah warga KEMAS, saya tidak melihat KEMAS hanya sebagai sebuah jabatan. Di bawah Kerajaan MADANI, kita telah melaksanakan beberapa perubahan. TABIKA KEMAS di seluruh negara telah memperkenalkan TABIKA Cilik yang kini dikenali sebagai Sekolah Tahfiz Hufaz.
“Saya mengucapkan tahniah kepada Ketua Pengarah KEMAS yang baharu kerana kini terdapat 123,000 anak-anak yang sedang menghafal al-Quran,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Festival KEMAS 2025 di sini.
Pada majlis sama, Program Pra Tahfiz TABIKA KEMAS mencatat sejarah apabila Majlis Khatam Perdana Peringkat Kebangsaan 2025 yang menghimpunkan 2,540 kanak-kanak diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai “Largest Children Participation in Al-Quran (Juz Amma) Recital”.-Berita RTM
