Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUCHING : Ibu bapa perlu lebih berwaspada pada musim tengkujuh ini dengan tidak membiarkan anak-anak bermain di kawasan dilanda banjir.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, seperti sudah menjadi kebiasaan pada musim banjir ramai yang seronok bermain air.

“Kita tidak mahu keseronokan itu bertukar tragedi, jadi ibu bapa seharusnya lebih berwaspada dengan pergerakan anak-anak mereka.

“Sentiasa awasi anak-anak anda, jangan biarkan mereka bermain di tempat berisiko,”katanya ketika ditemui selepas menghadiri Karnival Sambutan Hari Kanak-Kanak 2025 (KSHKK 2025) di perkarangan Masjid Darul Ibadah Kampung Sampadi, Kampung Sempadi, di Lundu, hari ini.

“Saya berharap kejadian itu meningkatkan lagi kesedaran ibu bapa supaya mengawasi anak-anak terutama pada musim hujan ini,” katanya.

Beliau bersyukur, dua kanak-kanak itu ditemui selamat pagi ini selepas kira-kira 24 jam dilaporkan hilang.

“Difahamkan dua kanak-kanak itu ditemui orang awam yang mencari di kawasan dikenali Batu Merah yang terletak kira-kira tiga kilometer dari rumah nenek mereka,” katanya.

Mangsa Humaira Qalesya Mohd Dir dan sepupunya, NurAshafieya Aisyah Abd Nasri Asrafie disedari hilang selepas mereka tidak pulang sebaik selesai bermain di rumah nenek mereka dan kali terakhir mereka dilihat bermain dengan sepupu yang lain pada jam 9 pagi.

Sementara itu, mengulas kenyataan Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil, mengenai tahap literasi masyarakat, khususnya ibu bapa, terhadap akta dan undang undang berkaitan perlindungan kanak-kanak masih rendah, Nancy berkata, pihaknya melaksanakan pelbagai program advokasi untuk menangani polemik itu.

“Kementerian kami melaksanakan pelbagai program termasuk ASEAN ICT Forum on Child Online Protection 2025 bagi meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap perlindungan kanak-kanak.

“Kami juga melaksanakan program advokasi untuk mengelakkan pendedahan kanak-kanak kepada risiko berbahaya di ruang digital membabitkan pelbagai pihak antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Suruhanjaya Komunikiasi dan Multimedia (MCMC),”katanya.

Katanya, undang-undang berkaitan kanak-kanak sedia ada memadai untuk melindungi golongan itu dan yang penting semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersama membantu meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap akta berkaitan.-BH Online