Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 7 Disember – Al-Quran bukan sekadar kitab bacaan, namun panduan hidup yang perlu diintegrasi dalam seluruh aspek masyarakat serta pentadbiran negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata setiap organisasi termasuk sektor awam, korporat, pendidikan dan industri perlu kembali kepada al-Quran untuk membentuk hala tuju yang lebih berprinsip dan berkesan.

Dalam ucapannya pada Majlis Penutup Konvensyen Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2025, Datuk Dr. Mohd Na’im menegaskan kepentingan menjadikan wahyu sebagai asas kepada inovasi dan kemajuan.

“Kepada semua penginovasi dan pencipta yang hadir, konvensyen ini mengingatkan kita tentang prinsip mendalam, ‘Daripada Wahyu Kepada Inovasi’.

“Islam menyeru kita bukan sahaja mengambil ilmu, tetapi juga mencipta, menginovasi dan memimpin. Komuniti, industri dan negara kita akan maju apabila prinsip Islam wujud bersama ilmu keduniaan, menghasilkan penyelesaian yang beretika, berimpak dan mampan,” katanya.

Tambah Datuk Dr. Mohd Na’im, negara memerlukan pemimpin generasi baharu yang bukan sahaja cemerlang secara profesional, tetapi memiliki keupayaan memimpin masyarakat dari sudut kerohanian.

Menurutnya, pemimpin ideal masa kini perlu mampu menyampaikan tazkirah, memimpin solat Jumaat dan membimbing warga kerja dengan nilai prestasi, etika serta kesedaran spiritual.

Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan Gerakan Saff 12 sebagai platform yang menggabungkan hikmah al-Quran dengan ilmu sains moden dalam usaha melahirkan pemimpin yang kukuh kerohanian, tajam intelek dan cemerlang dalam kerjaya.

Dalam pada itu, Sekretariat Dakwah Korporat (SDK) bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sentiasa komited memberikan bimbingan, kepakaran dan nasihat kepada agensi kerajaan, syarikat korporat serta pihak berkuasa negeri dalam menerapkan budaya kerja berteraskan al-Quran.

Datuk Dr. Mohd Na’im turut menegaskan bahawa konsep halal bukan sekadar logo, tetapi manifestasi nilai ekonomi Quranik berasaskan amanah, ihsan, itqan dan disiplin kerja.-Berita RTM