Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

ISKANDAR PUTERI, 6 Disember – Pengiktirafan rasmi Pusat Berbasikal Dunia (WCC) Satelit Pembangunan Wilayah (RDS) di Johor Bahru sebagai Pusat Satelit Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) yang pertama di Asia Tenggara menandakan satu pencapaian penting bagi pembangunan sukan berbasikal di rantau ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, penubuhan WCC RDS itu memberi fokus kepada pembangunan sukan berbasikal trek dan BMX di Malaysia dan serantau selain meningkatkan imej negara dalam kancah sukan berbasikal.

“WCC RDS ini hanya terdapat 11 sahaja di seluruh dunia, dan Malaysia termasuk salah satunya. Ini satu pencapaian yang membanggakan, terutama untuk Johor yang memiliki pusat ini bagi rantau Asia Tenggara.

“Saya berharap Persatuan Berbasikal Malaysia dapat memanfaatkan peluang geran padanan kami untuk menganjurkan lebih banyak acara bertaraf antarabangsa di lokasi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam sidang media selepas majlis pelancaran WCC RDS di Velodrom Johor di sini.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia, Datuk Amarjit Singh Gill yakin, penubuhan WCC RDS di Johor Bahru mampu melahirkan ramai atlit berbasikal dalam negara.

Selain atlet, program latihan dan pembangunan dijalankan juga, akan melibatkan jurulatih, mekanik, dan pengadil tempatan dan rantau ASEAN.

“Kita akan mendapatkan bantuan daripada jurulatih-jurulatih WCC di Switzerland, serta pakar-pakar berkaitan.

“Ini merupakan satu peluang keemasan yang perlu kita manfaatkan sepenuhnya. Percayalah, dengan kewujudan WCC ini, kita akan dapat melahirkan lebih ramai atlet berbakat di Malaysia,” katanya.

Presiden UCI, David Lappartient pula, gembira dengan tahap infrastruktur berbasikal di Velodrom Johor dan trek BMX Iskandar Puteri.-Berita RTM