Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUANTAN: Kerajaan negeri menegaskan komitmen membawa Pahang ke mercu kemajuan yang mampan, dengan rakyat terus menjadi keutamaan dalam setiap dasar serta pelaksanaan pembangunan. 

Selaras Aspirasi Pahang 1st, Belanjawan 2026 dirangka sebagai kesinambungan pelan tindakan negeri yang bersifat komprehensif dan berpaksikan tujuh teras utama sebagai nadi kemajuan Pahang pada masa depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata teras pertama menitikberatkan pemerkasaan agama Islam, pemeliharaan institusi Diraja serta pengukuhan warisan budaya yang menjadi identiti negeri sejak turun-temurun. 

Bagi memperkukuh Islam sebagai paksi kehidupan dan pentadbiran, kerajaan negeri memperuntukkan RM235.95 juta bagi 2026, meningkat RM39.89 juta atau 20.35 peratus berbanding tahun ini.

“Kerajaan negeri bukan sahaja mengekalkan komitmen memperteguhkan syiar Islam, malah meningkatkannya secara lebih agresif dan berstrategi. Ini sekali gus menepis tanggapan yang menuduh kerajaan negeri tidak Islamik atau bersifat sekular,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di sini, semalam.

Selaras titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, UnIPSAS akan diberikan suntikan visi baharu sebagai Universiti Al-Quran bagi melahirkan generasi berilmu dan berakar kepada wahyu. 

Sebanyak RM20 juta diperuntukkan untuk pengurusan serta pembangunan universiti itu, peningkatan 66.7 peratus berbanding RM12 juta tahun ini.

Teras kedua pula memfokuskan pemacuan ekonomi negeri secara lebih agresif melalui pengukuhan industri, pemodenan sektor tradisional dan pembangunan infrastruktur yang berupaya mewujudkan peluang pekerjaan baharu.

Program Usahawan Makmur diteruskan dengan peruntukan RM5 juta bagi membantu usahawan menembusi pasaran lebih luas, manakala RM3 juta disediakan bagi pemberian lesen percuma kepada penjaja B40 di seluruh negeri.

“Teras ketiga menjadi tunjang kemajuan kerana tiada pembangunan mampu dipertahankan tanpa rakyat berpengetahuan dan berkemahiran. Justeru, RM75 juta diperuntukkan melalui Yayasan Pahang bagi memperkukuh keseluruhan ekosistem pendidikan merangkumi sekolah, institusi tinggi, tahfiz dan pembangunan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, teras keempat memberi penekanan kepada usaha membina generasi masa depan yang kuat jati diri dan bersemangat kebangsaan, manakala teras kelima memastikan jentera pentadbiran negeri kekal dinamik, berintegriti dan berprestasi tinggi.

Teras keenam pula menitikberatkan kelestarian alam sebagai keutamaan, sejajar tuntutan masa hadapan untuk memelihara sumber negeri. 

Wan Rosdy menegaskan, pembangunan hanya bermakna jika ia diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat, seiring matlamat teras ketujuh yang menjadi penutup rangka pembangunan negeri.

“Pembangunan pesat tidak membawa makna tanpa kesejahteraan rakyat. Itulah asas kepada setiap strategi yang digariskan,” katanya.-BH Online