KUALA LUMPUR: Hari ini, garis masa di media sosial penuh dengan pelbagai catatan peribadi mereka yang pernah mengenali sosok Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin atas apa kapasiti sekalipun.
Pemimpin pelbagai parti, kawan dan lawan, ahli politik, sahabat, anak muda yang pernah dibelikan tiket kapal terbang untuk panggilan kerja ke Semenanjung dan pelajar dibantu bayaran yuran pengajian universiti adalah antara yang laju berkongsi kisah masing-masing, tanda mengenang kebaikan Ahli Parlimen Kinabatangan itu.
Perkongsian seorang rakan di Instagram yang memaparkan sebaris ucapan Bung Moktar ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 lalu, turut membuatkan air mata bergenang minta dilepaskan.
Berbaju biru lambang Barisan Nasional (BN) dan lantang seperti lazimnya, Ketua UMNO Sabah itu kedengaran berkata: “Ini perjumpaan besar kita yang terakhir, tidak akan ada lagi selepas ini.”
Terdiam seketika tatkala mendengar ungkapan itu berkali-kali. Entah apa yang mendorong Bung Moktar berkata sedemikian, seolah-olah menitip pesan akhir buat semua yang ditinggalkan.
Usai majlis pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas di Kota Kinabalu selepas solat Jumaat hari ini, Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkongsi catatan peribadi di akaun media sosialnya, sarat dengan isi hati penuh duka, melepas pergi sahabat sejati.
Berikutan catatan penuh yang dikongsi menerusi sembilan untaian Threads @ahmadzahidhamidi.
“Hari ini, di bumi Sabah yang menjadi gelanggang perjuangannya sekian lama, saya hadir dengan hati yang hiba dan langkah yang terasa sayu untuk memberikan penghormatan terakhir kepada sahabat saya, Allahyarham Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin.
“Di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, suasana sebak yang menyelimuti para hadirin seakan-akan menggambarkan betapa besar kasih rakyat Sabah terhadap beliau.
“Ramai yang datang bukan sekadar untuk mengiringi jenazah tetapi untuk mengirimkan doa, menitipkan rasa cinta dan penghargaan atas seluruh bakti seorang pejuang yang tidak pernah mengenal erti lelah dalam berbakti
Allahyarham pergi ketika perjuangannya tidak pernah surut. Beliau pergi dengan hati yang masih memikirkan rakyat, masih memikirkan Sabah, masih memikirkan amanah yang dipikulnya.
Semangatnya yang tegas, keberaniannya yang tidak pernah goyah dan kesetiaannya yang tidak pernah retak tetap hidup dalam hati kami yang mengenali beliau.
Hari ini, saya kehilangan seorang sahabat. Tetapi UMNO kehilangan seorang pejuang. Dan Sabah kehilangan seorang anak watan yang tidak pernah berhenti mencintai tanah kelahirannya.
Semoga Allah SWT mengampunkan segala dosanya, melapangkan kuburnya dan menempatkan rohnya dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan yang dimuliakan.
Terima kasih, sahabat. Terima kasih atas setiap jasa, setiap langkah, setiap perjuangan yang kau tinggalkan untuk kami teruskan. Al-Fatihah…”-BH Online
