PUTRAJAYA, 6 Disember – Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku yang sedang berlangsung bukan sekadar pameran, sebaliknya merupakan cerminan hasil kerja kerajaan serta semangat MADANI yang kini memasuki tahun ketiga pelaksanaannya.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pelbagai pameran dan aktiviti interaktif disediakan oleh kementerian dan agensi kerajaan, termasuk Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata penganjuran kali ini menampilkan segmen istimewa melibatkan PETRA, merangkumi sektor tenaga dan air yang menjadi antara nadi utama dalam agenda pembangunan negara.
Selain itu, beliau berkata reruai PETRA turut memberikan peluang kepada rakyat mendapatkan maklumat serta menyertai pelbagai inisiatif baharu kerajaan.
“Jadi datanglah dapatkan informasi dan ada juga tawaran-tawaran istimewa disediakan,” katanya kepada media selepas menyertai ribuan peserta dalam Anti-Corruption Fun Run sejauh 5.8 kilometer di sini hari ini.
Fadillah bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan tampil sebagai ahli panel dalam forum dijadual berlangsung esok yang bertajuk “Kerajaan MADANI – Retrospektif dan Memeta Perjalanan ke Hadapan”.
Forum itu akan menjadi acara kemuncak sambutan tiga tahun pentadbiran Kerajaan MADANI sebelum majlis penutupan disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sesi berkenaan akan memberikan tinjauan retrospektif terhadap pencapaian Kerajaan MADANI sambil memeta hala tuju masa depan berteraskan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Perbincangan turut menumpukan usaha menaikkan lantai bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan menaikkan siling untuk melonjakkan produktiviti serta daya saing negara.
Program Rancakkan MADANI berlangsung selama tiga hari bermula semalam, membabitkan lebih 300 perkhidmatan sentuhan rakyat, karnival kerjaya, pameran interaktif, hiburan keluarga serta pelbagai tawaran istimewa untuk pengunjung.
Program Rancakkan MADANI merupakan kesinambungan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI dan Program Dua Tahun Kerajaan MADANI, yang menjadi tradisi pelaporan tahunan kerajaan secara langsung kepada rakyat.
Serentak dengan program itu, turut berlangsung Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 yang menghimpunkan pemikir dasar dalam kalangan penjawat awam serta pemain industri.
Program berskala nasional anjuran Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) itu menyasarkan kehadiran sekitar 300,000 pengunjung, dan dibuka dari 9 pagi hingga 10 malam pada Jumaat dan Sabtu serta 9 pagi hingga 6 petang pada Ahad.- BERNAMA
