Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 6 Disember – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meraikan para pembentang persidangan ‘Islam and the Emerging World Order’ oleh Institut Kajian Masa Depan Antarabangsa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.

Beliau menerusi hantaran di Facebook menzahirkan penghargaan atas nasihat serta saranan yang disampaikan para pembentang dalam pertemuan tersebut.

Mereka turut membincangkan pelbagai isu termasuk cabaran perkhidmatan awam, xenofobia dan masa depan dunia di sebalik cabaran semasa.

“Selain itu, dua wakil dari Sarajevo pula menarik perhatian membincangkan kandungan kitab oleh Tajuddin al-Subki iaitu Mu’id al-Ni’am wa Mubid al-Niqam (‘The Restorer of Favours and the Restrainer of Chastisements’) yang boleh diambil pedoman dalam tantanan semasa,” katanya.

Tambah Datuk Seri Anwar, dialog sedemikian wajar diperluas agar penilaian dasar kerajaan dapat dibuat secara lebih kritis dan berwibawa, sekali gus merangka tindakan yang memberi impak bukan sahaja kepada umat Islam tetapi kesejahteraan global.-Berita RTM