KUALA LUMPUR: Malaysia menerima kemasukan 195,878 pelajar antarabangsa daripada lebih 150 negara, tahun ini.
Jumlah itu berdasarkan Kad Laporan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) 2025 yang menggariskan 25 pencapaian kementerian itu.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, berkata budaya baharu ini menuntut masyarakat sentiasa peka terhadap pentingnya pendidikan tinggi sebagai pemacu daya saing negara, khususnya dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelajar antarabangsa.
Bagaimanapun, katanya usaha memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pendidikan antarabangsa turut mengundang beberapa kritikan termasuk dakwaan kehadiran pelajar luar mengurangkan peluang kemasukan pelajar tempatan.
“Kita pertahankan jumlah pengambilan pelajar tempatan. Tiada pengurangan langsung.
“Pada masa sama, Malaysia semakin muncul sebagai antara hab pendidikan antarabangsa yang semakin diminati,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Media Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2025, di sini, malam tadi.
Turut hadir Pengarang Kumpulan Berita Harian, Zulkifli Jalil.
Dalam pada itu, Zambry berkata, kemasukan pelajar luar negara yang datang sendiri untuk melanjutkan pengajian di Malaysia membuktikan sistem pendidikan tinggi negara semakin berkualiti dan kompetitif.
“Kalau mereka tidak yakin dengan sistem pendidikan kita, mengapa mereka perlu membelanjakan wang untuk datang ke sini?
“Mereka datang kerana Malaysia mampu menawarkan kualiti yang setanding tahap antarabangsa,” katanya.
Katanya, perkembangan itu bukan sahaja meningkatkan imej negara di persada global, malah membawa pulangan besar kepada ekonomi tempatan melalui pelaburan dalam pendidikan, perbelanjaan pelajar, serta pengembangan sektor perkhidmatan berkaitan.
Justeru, Malaysia, katanya, perlu terus memanfaatkan momentum ini dengan memastikan ekosistem pendidikan sentiasa relevan dan kompetitif supaya negara kekal menjadi pilihan utama dalam peta pendidikan tinggi dunia.-BH Online
