PUTRAJAYA, 6 Disember -Pengumuman sebuah syarikat penerbangan terkemuka tempatan membenarkan kru kabin wanita memakai hijab ketika bertugas di semua laluan penerbangan, merupakan satu langkah progresif dan amat dialu-alukan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar dalam satu kenyataan menzahirkan penghargaan dan tahniah atas penetapan dasar pakaian seragam baharu yang lebih inklusif.
“Keputusan yang matang itu menunjukkan komitmen syarikat berkenaan terhadap prinsip kepelbagaian, keterangkuman, dan penghormatan kepada tuntutan agama dalam kalangan pekerja muslimah,” katanya menerusi kenyataan itu.
Beliau berharap ia akan menjadi contoh terbaik kepada syarikat-syarikat korporat lain di negara ini supaya sentiasa prihatin dan menyokong kebebasan serta hak setiap pekerja dalam menjalankan tuntutan agama mereka, selaras dengan semangat perlembagaan negara dan nilai-nilai Malaysia MADANI.
Beliau turut memberi penghargaan khusus kepada para asatizah serta pihak yang terlibat berusaha dengan gigih mengadakan perbincangan dan libat urus secara berterusan dengan pihak Syarikat penerbangan.
“Usaha murni itu yang merupakan kunci kejayaan dalam merealisasikan pilihan seragam berhijab, dijangka mula dilaksanakan pada suku pertama tahun 2026,” katanya lagi.-Berita RTM
