KAPIT, 6 Disember – Penyerahan Projek Telaga Tiub di SK Rantau Panjai, Kapit menjadi detik bermakna apabila kemudahan bekalan air bersih kini dapat dinikmati secara lebih stabil dan selamat oleh warga sekolah.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek bekalan air Telaga Tiub di 11 buah sekolah di Kapit mencerminkan komitmen kerajaan memastikan murid di kawasan pedalaman mendapat kemudahan asas yang setara dengan sekolah di bandar.
Projek tersebut dilaksanakan melalui peruntukan lebih RM11.488 juta pada tahun 2025 untuk pembangunan sistem telaga tiub di sekolah-sekolah pedalaman Sarawak.
“Kapasiti keluaran air untuk projek ini adalah lingkungan 10,000 liter sehari. Ia memadai untuk kegunaan harian di sekolah. Kualiti air juga dijamin kerana diproses melalui kaedah Reverse Osmosis dan selamat diminum.
“Pelaksanaan projek ini merangkumi pembinaan tangki takungan, tangki air paras tinggi, rumah pam, sistem mekanikal dan elektrikal serta kerja luaran. Ia turut melibatkan pembaikan seperti geophysic dan drilling bagi memastikan kualiti dan keselamatan air menepati piawaian,” katanya.
Daripada 11 sekolah yang menerima projek, tujuh daripadanya telah siap sepenuhnya dan kini menikmati manfaat bekalan air bersih. Bagi empat sekolah yang belum dapat mengeluarkan air kerana kapasiti sumber tidak mencapai standard minimum, JKR telah mengemukakan kaedah alternatif kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk pelaksanaan kontrak susulan.
“Ini membuktikan komitmen kerajaan tidak berhenti pada penyerahan hari ini, tetapi usaha berterusan sedang digerakkan agar keempat-empat sekolah itu turut menerima manfaat yang sama,” jelasnya lagi.
Datuk Seri Alexander yang juga Ahli Parlimen Kapit menyeru pihak sekolah supaya menjaga kemudahan tersebut dengan penuh tanggungjawab memandangkan bekalan air bersih adalah aset kritikal bagi keselamatan dan kesejahteraan murid.
Beliau menegaskan, telaga tiub merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan meningkatkan kemudahan asas di sekolah pedalaman bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat, selesa dan mampan.-Berita RTM
