Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

AYER KEROH, 5 Disember – Seramai 5,200 penjawat awam Melaka akan menerima bayaran Bantuan Khas Kewangan (BKK) setengah bulan gaji, minimum RM2,000, yang dijangka dibayar pada akhir bulan ini.

Insentif yang melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM11.379 juta itu turut menjadikan seramai 1,153 penjawat awam negeri menerima lebih daripada sebulan gaji, termasuk 631 guru KAFA dan Tadika JAIM.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, ketika membentangkan Bajet Negeri Melaka 2026, turut mengumumkan penjawat awam negeri akan menerima tambahan RM500 pada Mac tahun hadapan.

Selain itu, pengamal media Melaka juga bakal menerima insentif khas sekali beri sebanyak RM500 sebagai tanda penghargaan daripada kerajaan negeri, dengan implikasi kewangan RM75,000.

Bajet Negeri Melaka 2026 bertemakan “Pembangunan Terancang, Demi Rakyat, Untuk Rakyat” memperuntukkan anggaran perbelanjaan mengurus sebanyak RM528.8 juta manakala anggaran perbelanjaan pembangunan pula mencecah RM93 juta.

Ketua Menteri berkata, bajet tahun 2026 merangkumi 204 inisiatif yang akan dilaksanakan di bawah konsep Melaka Sayang Rakyat (MESRA) dan diterjemah melalui 13 tumpuan utama dalam ekosistem strategik negeri.

Beliau berkata, belanjawan berkenaan disusun rapi bagi memastikan setiap perbelanjaan memberi manfaat langsung kepada rakyat dan pembangunan negeri.-Berita RTM