Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 5 Disember –Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pemergian Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai kehilangan seorang sahabat sejati yang amat dekat di hati.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Presiden UMNO itu berkata Allahyarham merupakan rakan seperjuangan yang sentiasa teguh berdiri di sisi serta insan yang setia menemani dalam setiap waktu senang dan susah.

“Sukar untuk saya mencari kata yang mampu menggambarkan rasa kehilangan ini. Yang tinggal hanyalah doa, mengiringi segala kenangan dan kebaikan yang telah beliau tinggalkan buat kami di dunia ini,” katanya.

Ahmad Zahid berkata seluruh saf kepimpinan UMNO, Barisan Nasional (BN) dan rakyat khususnya di Sabah berdoa agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, dilimpahi keampunan dan ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman serta beramal soleh.

Beliau yang juga Pengerusi BN turut menyampaikan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Bung Moktar.

“Semoga kalian semua dikurniakan ketabahan, ketenangan dan kekuatan dalam melalui saat yang amat berat ini,” katanya.-Berita RTM