PUTRAJAYA: Kemajuan negara dalam memastikan keselamatan saksi kanak-kanak ketika memberi keterangan di mahkamah dikagumi komuniti undang-undang antarabangsa, kata Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Wan Ahmad Farid berkata, Badan Kehakiman menekankan penggunaan mahkamah bergerak termasuk van mesra kanak-kanak khas sebagai langkah membantu saksi kanak-kanak memberi keterangan dalam kes kesalahan seksual terhadap mereka.
Katanya, ketika berucap di Riyadh, Arab Saudi minggu lalu dalam satu persidangan antarabangsa, mereka agak terkejut bahawa Malaysia begitu maju dalam memastikan keselamatan saksi kanak-kanak.
“Saya boleh katakan kita antara yang terbaik di dunia. Dalam kes-kes kesalahan seksual membabitkan kanak-kanak, kita menjaga saksi dari rumah mereka sehinggalah ke mahkamah.
“Kanak-kanak yang menjadi mangsa jenayah seksual berhadapan dua jenis trauma; satu ketika kejadian berlaku dan satu lagi ketika mereka perlu mengimbau peristiwa ketika memberi keterangan di mahkamah.
“Trauma itu lebih teruk apabila pelaku adalah ahli keluarga terdekat seperti bapa saudara, ayah, atau abang. Oleh itu, dengan adanya mahkamah bergerak ini, kita dapat membantu mangsa ini memberi keterangan dalam persekitaran yang kurang menekan dan melindungi mereka,” katanya.
Pada 29 Oktober lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata kerajaan memperuntukkan RM10 juta untuk mengembangkan perkhidmatan mahkamah bergerak termasuk Mahkamah Kanak-Kanak Bergerak dan inisiatif Keadilan Bergerak.
Katanya, peruntukan itu adalah sebahagian daripada RM165 juta yang diperuntukkan di bawah Belanjawan 2026 untuk mempertingkatkan kemudahan mahkamah.
Sementara itu Wan Ahmad Farid turut ditanya mengenai penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi membantu mahkamah menganalisis trend dalam mengenakan hukuman terhadap mereka yang disabitkan kesalahan.
Menurutnya, AI mempunyai hadnya yang mana pada akhirnya, hakim sendiri yang akan membuat keputusan muktamad.
Wan Ahmad Farid berkata, majistret dan hakim Mahkamah Sesyen di Sabah dan Sarawak sudah menggunakan AI untuk menyediakan panduan mengenai hukuman bagi kesalahan jenayah, bagaimanapun menegaskan bahawa mereka ‘tidak terikat dengan cadangan AI’.
Beliau berkata, Badan Kehakiman juga sedang meneroka penggunaan AI untuk panduan hukuman di mahkamah di Semenanjung.
“Tetapi saya selalu katakan bahawa aspek kemanusiaan dalam AI masih kurang, jadi majistret dan hakim Mahkamah Sesyen perlu menggunakan kepakaran dan kemahiran mereka sendiri untuk membuat keputusan.
“Hakim mungkin mempertimbangkan untuk mengenakan hukuman yang lebih berat dalam kes tertentu disebabkan faktor lain yang mungkin tidak dapat diambil kira oleh AI.
“Walaupun AI membantu, tetapi ia bukan penentu muktamad, kita perlu membuat keputusan akhir melalui satu cara atau cara yang lain,” katanya.
Wan Ahmad Farid berkata, Badan Kehakiman kini sedang meneroka kemungkinan lain bagaimana AI boleh digunakan untuk meningkatkan kualiti penghakiman mahkamah dan untuk memastikan menyampaikan penghakiman dengan pantas.-BH Online
