KUALA LUMPUR: Tiga rakyat Malaysia yang sebelum ini dilaporkan terputus hubungan akibat bencana banjir serta tanah runtuh di Aceh, Indonesia, sudah berjaya dibawa keluar dan diterbangkan ke Medan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata laporan berhubung perkembangan terbaru itu diterima daripada Konsul Jeneral Malaysia di Medan, Shahril Nizam Abdul Malek.
Mereka yang berjaya dibawa keluar itu ialah Lai Kah Keong, 65; Mohd Azmi Shafiee, 63; dan Zulkarnaen Abdullah, 69.
“Ketiga-tiganya sudah dibawa keluar dari kawasan terputus hubungan dan diterbangkan dari Lapangan Terbang Domestik Rembele, Takengon, ke Medan dengan menggunakan pesawat Tentera Nasional Indonesia Angkatan Udara.
“Mereka telah selamat tiba di Kualanamu pada jam 5 pagi tadi. Konsulat sedang mengaturkan penerbangan mereka pulang ke tanah air secepat mungkin.
“Namun, seorang lagi mangsa dikenali sebagai Masithah Ja’far, 64, masih belum dapat dihubungi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Mohamad berkata, menurut laporan berkenaan juga, operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang rakyat Malaysia, Asrul Nizam Apridwson, 30, yang dipercayai tertimbus dalam insiden tanah runtuh di Padang Panjang, Sumatera Barat, masih belum menemui sebarang petunjuk.
Beliau memaklumkan usaha itu yang memasuki hari ketujuh, hari ini, kini difokuskan di sekitar kawasan tebing sungai dan tanah runtuh berhampiran Jambatan Kembar.
“Ibu bapa mangsa kini berada di RS Bhayangkara Padang bagi proses asid deoksiribonukleik (DNA) dan pengecaman sekiranya mangsa ditemui,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, laporan berkenaan memaklumkan bencana banjir dan tanah runtuh yang melanda Aceh, Sumatera Barat dan Sumatera Utara sejak 27 November lalu masih berada pada tahap kritikal, dengan operasi SAR serta usaha memulihkan infrastruktur masih diteruskan.
“Laluan darat yang terputus mula dibuka semula, khususnya di Aceh, Tamiang serta kawasan pedalaman, sekali gus membolehkan penghantaran makanan, perubatan dan bantuan asas dihantar secara lebih teratur.
“Kementerian Pekerjaan Umum Indonesia menyasarkan semua laluan utama yang rosak dapat dipulihkan selewat-lewatnya 16 Disember ini sebagai langkah mempercepatkan SAR serta penilaian kerosakan,” katanya.
Setakat ini, Mohamad berkata, lebih 753 mangsa disahkan terkorban, manakala lebih 650 masih hilang di tiga wilayah terjejas.
Beliau berkata, laporan itu menyebut angka terbabit dijangka meningkat memandangkan masih banyak lokasi belum dapat dimasuki pasukan penyelamat.
“Pada pagi ini, Malawakil Medan bersama komuniti rakyat Malaysia dijadual mengagihkan makanan dan keperluan asas kepada 200 keluarga yang terjejas banjir di Sumatera Utara,” katanya.-BH Online
