Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 3 Disember – Tiga menteri hari ini mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara untuk penggal kedua, sekali gus membolehkan mereka meneruskan tugas dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Mereka ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.

Upacara mengangkat sumpah berlangsung di hadapan Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah.

Kali pertama mereka mengangkat sumpah sebagai Senator pada 3 Disember 2022.

Bagi penggal kedua, mereka akan berkhidmat dalam Kabinet bermula hari ini hingga 2 Disember 2028.

“Selamat berkhidmat dan bertugas. Pelantikan ini mencerminkan keyakinan terhadap keupayaan mereka untuk terus menyumbang kepada negara

“Jika terus diberikan amanah dalam pentadbiran, maka jalankan tugas dengan berkaliber dan memantapkan peranan Senator dalam Dewan ini,” katanya.

Pelantikan ketiga-tiga senator itu selepas perkenan Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 45(1)(b) Perlembagaan Persekutuan selaras dengan peruntukan Perkara 45(3) dan 45(3A).

Awang Bemee ketika ditemui berkata pelantikan semula itu mencerminkan kepercayaan berterusan kerajaan terhadap kepakaran dan komitmen ketiga-tiga menteri dalam merangka dasar serta melaksanakan agenda pembangunan negara.-Berita RTM