SERDANG, 3 Disember – Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang dijadual berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September 2026 dilihat sebagai platform penting untuk menarik minat lebih ramai kalangan generasi muda menceburi sektor pertanian.
Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, beliau berhasrat melihat Malaysia muncul sebagai antara pengeluar makanan utama di rantau ini pada masa hadapan.
Sehubungan itu, penglibatan belia perlu diperkasakan mulai sekarang bagi memastikan pembangunan sektor berkenaan terus mapan.
“MAHA akan datang lebih menumpukan kepada usaha mempromosikan pertanian sebagai satu bentuk perniagaan dan sumber pendapatan. Tujuannya untuk meningkatkan keyakinan terutamanya dalam kalangan anak muda supaya mereka menceburi bidang pertanian yang kini berkembang pesat, secara sepenuh masa serta dalam skala lebih besar,” katanya kepada media selepas Majlis Pra-Pelancaran MAHA 2026 di sini, hari ini.
Tambah Datuk Seri Mohamad Sabu, peruntukan yang diterima Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam belanjawan kali ini juga diyakini mampu merancakkan lagi kemajuan sektor agromakanan negara.
“Bagi MAHA 2026, sasaran awal yang ditetapkan adalah seperti berikut, iaitu menarik empat juta pengunjung. Sebelum ini sasaran kami tiga juta tetapi kehadiran mencecah lima juta pengunjung. Oleh itu tahun ini kami berharap sasaran tersebut dapat melebihi angka berikut seperti dua tahun lalu.
“Selain itu, kami menyasarkan pemeteraian MoU bernilai RM8 bilion, mencapai nilai jualan sebanyak RM58 juta, mengumpulkan penyertaan 2,000 pempamer serta penglibatan 800,000 belia dalam pelbagai program dan aktiviti,” katanya.
Usaha tersebut seiring matlamat Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) yang memberi tumpuan kepada pemodenan, penerapan teknologi baharu dan pengukuhan kapasiti industri bagi memastikan bekalan makanan negara sentiasa terjamin.
MAHA 2026 membawakan tema “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan”, seiring aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 untuk memperkasakan seluruh rantaian ekosistem agromakanan.-Berita RTM
