PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melakukan lawatan kerja ke Singapura esok bagi menghadiri Sesi Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-12.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, pemimpin kedua-dua negara akan menilai kemajuan kerjasama dalam bidang utama, membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama, serta merangka peluang baharu bagi memperkukuh perkongsian Malaysia – Singapura.
Pemukiman Pemimpin-pemimpin Malaysia-Singapura adalah platform tertinggi bagi kedua-dua negara menilai keadaan keseluruhan hubungan dua hala dan dianjurkan secara bergilir sejak 2007.
Semasa lawatan itu, kedua-dua pemimpin dijadual menyaksikan pertukaran dua Memorandum Persefahaman (MoU) dan satu perjanjian antara Malaysia dan Singapura, yang mencerminkan peluasan skop kerjasama antara kedua-dua negara.
Satu Kenyataan Bersama Pemimpin akan dikeluarkan pada penghujung sesi pemukiman.
Anwar akan diiringi oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, turut menyertai delegasi rasmi.
Sebagai negara jiran rapat dan rakan utama ASEAN, Malaysia dan Singapura menikmati kerjasama kukuh merentasi pelbagai sektor.
Singapura kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar Malaysia, dengan jumlah perdagangan dua hala berjumlah AS$78.70 bilion (RM339.39 bilion) dari Januari hingga Oktober 2025, mewakili 13.5 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia.
Tahun ini juga adalah ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara. – BERNAMA
