Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 2 Disember – Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang meneliti keperluan untuk menyemak semula beberapa peruntukan undang-undang sedia ada berhubung operasi berskala besar seperti Op Songsang, susulan kekangan perundangan yang dihadapi dalam tindakan terhadap ratusan individu yang ditahan baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keperluan itu timbul selepas pihak polis berdepan cabaran untuk melengkapkan kertas siasatan dalam tempoh terhad, termasuk menentukan seksyen undang-undang yang tepat untuk digunakan bagi setiap tangkapan.

Menurutnya, walaupun lebih 200 individu dibebaskan dengan jaminan polis, proses siasatan tetap diteruskan.

Beliau turut menjelaskan, tindakan serbuan dan tangkapan dibuat mengikut undang-undang sedia ada, termasuk bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Kanun Keseksaan, namun beberapa peruntukan didapati tidak memadai bagi menangani kes yang melibatkan jumlah besar dan pelbagai kategori individu, seperti penjawat awam serta warga asing.

“Akhirnya kita jadi serbuan, tangkapan, kemudian mahkamah tidak benarkan reman dilanjutkan. Tapi bukan bermaksud siasatan terhenti. Kita ada profil mereka semua dan akan panggil semula jika perlu untuk melengkapkan kertas siasatan,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Simposium Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) 2025 di sini.

Datuk Seri Saifuddin turut menjawab persoalan mengenai isu privasi yang dibangkitkan oleh beberapa pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), susulan tindakan polis menyerbu premis yang disyaki menjalankan aktiviti tidak bermoral.

“Privasi itu kalau dia bersendirian di rumah, itu privasi. Ini di premis dengan 202 orang. Privasi apa lagi? Polis perlu seimbangkan tanggungjawab mengekang aktiviti tidak bermoral dengan hak individu,” tegasnya.

Beliau menegaskan bahawa aktiviti yang dicegah menerusi operasi itu adalah perbuatan tidak bermoral yang tidak boleh dipertahankan oleh mana-mana agama.

“Jadi kalau ada NGO yang melihat dari sudut pandang dia harus melihat bahawa itu adalah perbuatan tidak bermoral yang tak boleh dipertahankan dari sudut mana-mana agama sekali pun,” tegasnya lagi.

KDN katanya, akan memperhalus maklum balas daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bahagian Keselamatan kementerian, sebelum membawa cadangan pindaan perundangan untuk dipertimbangkan.

“Sudah sampai masanya untuk kita teliti beberapa peruntukan yang terkait,” katanya.-Berita RTM