KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI, melalui kerjasama rentas agensi, mempertingkatkan penguasaan terhadap pesalah culas nafkah bagi memastikan kebajikan wanita dan kanak-kanak dilindungi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar.
Beliau berkata Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) di bawah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) melaksanakan tindakan termasuk saman penghutang, potongan gaji automatik, pembekuan akaun melalui mekanisme hiwalah serta hukuman penjara hingga 30 hari.
“Kerajaan memandang serius isu kegagalan membayar nafkah kerana perkara itu satu bentuk pengabaian tanggungjawab yang menjejaskan kebajikan wanita dan anak-anak,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan senator Dr Wan Martina Wan Yusoff dan Senator Datuk Edward Linggu Bukut tentang isu kegagalan membayar nafkah di Mahkamah Syariah.
Menjelas lanjut, Mohd Na’im berkata pindaan terhadap Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan undang-undang berkaitan membolehkan institusi kewangan membekukan akaun penghutang untuk tujuan pelunasan tunggakan nafkah.
Setakat September 2025, sebanyak 152 kes hiwalah didaftarkan dan 26 daripadanya berjaya diselesaikan dengan nilai keseluruhan RM79,820 dipindahkan kepada penerima.
Mohd Na’im berkata BSK turut mewujudkan Unit Pemantauan bagi menilai pematuhan perintah nafkah, mengurus potongan gaji serta mencadangkan tindakan undang-undang terhadap ketidakpatuhan.
BSK juga bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mengesan alamat, pendapatan dan status terkini bekas suami melalui Unit Pengesanan Maklumat.
“Integrasi data ini mempercepat tindakan penguatkuasaan dan mengurangkan ruang pesalah melarikan diri daripada tanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata pangkalan data pesalah nafkah diperkukuh melalui sistem e-Nafkah, manakala Mahkamah Khas Nafkah yang ditubuhkan kini mencapai sasaran mempercepat penyelesaian kes daripada 14 bulan kepada enam bulan.
Menjawab cadangan menubuhkan tabung nafkah sementara, Mohd Na’im berkata kerajaan telah menyediakan mekanisme sedia ada melalui Pendahuluan Nafkah dan Bantuan Nafkah yang diuruskan BSK serta Majlis Agama Islam Negeri.
Pendahuluan nafkah akan dikutip semula selepas tunggakan berjaya diperoleh melalui tindakan mahkamah, manakala Bantuan Nafkah disediakan untuk asnaf fakir dan miskin, katanya.– BERNAMA
